• Nasrudin Hassan Nasrudin
1 / 1
KEPALA BATAS - Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng adalah seorang yang gopoh apabila mengisytiharkan PR tidak lagi wujud sedangkan Pas masih belum memutuskan sebarang ketetapan berhubung usul Dewan Ulama mahu parti itu memutuskan hubungan dengan DAP.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hassan berkata, ini kerana Guan Eng tidak merujuk kepada kepimpinan pakatan pembangkang untuk mengisytiharkan bahawa DAP tiada lagi hubungan Pas dan PR juga sudah tidak lagi wujud.

Katanya, Majlis Syura akan mengadakan mesyuarat khusus berhubung isu itu dan beberapa isu lain tidak lama lagi selepas Mursyidul Am, Datuk Dr Harun Din pulang daripada mengerjakan umrah.

“Apa yang berlaku ialah DAP yang memutuskan hubungan dengan PR dan Pas. Jadi, ini sesuatu yang menariklah usul Dewan Ulama Pas Pusat dilaksanakan oleh DAP sedangkan kita belum membuat sebarang keputusan dan ketetapan mengenainya,” katanya selepas ceramah perdana kepimpinan Pas Pusat di Markas Tarbiyah Pas negeri, Pongsu Seribu.
 
Nasrudin berkata, sehingga sekarang, Pas mempunyai hubungan yang baik dalam PR dan parti komponen yang lain kecuali DAP yang mengambil pendirian untuk memutuskan hubungan dengan Pas dan PR.

Ditanya sama ada tindakan Guan Eng itu mahu menimbulkan sentimen untuk mengelirukan rakyat, Nasrudin berkata, apa yang berlaku merupakan satu provokasi yang cuba dilancarkan sejak  awal lagi.

“Apa yang mereka (DAP) nak lakukan, bagaimana mereka nak suarakan dan apa sikap yang mereka nak ambil itu terpulanglah. Namun, sikap (pendirian) Pas sehingga hari ini kita masih bersama dengan PR,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengarahkan semua lapisan kepimpinan Pas negeri dilantik beberapa perjawatan dalam kerajaan Pulau Pinang untuk meneruskan tanggungjawab dan amanah kepada rakyat seperti biasa.

Mengenai cadangan penubuhan parti politik baharu, Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) dan kumpulan G18, Nasrudin mengibaratkan itu hanyalah fenomena sementara selain ‘demam’ selepas pasca muktamar Pas.

Namun, beliau menasihatkan agar mereka tidak menjadi pengganggu kepada hasrat parti untuk memperjuangkan Islam dan menjadi satu alternatif kepada Umno dan BN dalam mentadbir negara. 

“Dengan langkah yang ditimbulkan mereka sedikit sebanyak mengelirukan orang awam dan juga mengganggu kedudukan politik tanah air yang saya kira tak kan ke mana pun,” katanya.

Ditanya mengenai DAP yang didakwa menjalin hubungan baik dengan Pasma dan kumpulan G18 yang disifatkan sebagai pro DAP berbanding pro-ulama Pas, Nasrudin berkata, itu adalah hak rakan sekutunya itu untuk berbuat demikian selain tidak timbul sentimen pro-ulama mahu pun profesional. - Bernama