• Anwar fail laporan qazaf terhadap Shafee Wan Azizah mewakili suaminya fail laporan qazaf terhadap peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah di Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), hari ini. - Foto Sinar Harian oleh TUAN BUQHAIRAH TUAN MUHAMAD ADNAN
1 / 1
SHAH ALAM - Bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan laporan qazaf terhadap peguam, Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah di Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), hari ini. 
 
Anwar yang diwakili isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, suaminya telah dituduh melakukan liwat tanpa mengemukakan empat orang saksi atau ikrar orang yang dituduh sebagaimana diwajibkan oleh undang- undang.
 
“Laporan ini dibuat demi menegakkan keadilan dan hak Anwar yang telah dijadikan mangsa niat jahat,” katanya.
 
Menurutnya, Shafee didakwa memfitnah Anwar secara terbuka semasa dialog anjuran Akademi Kepimpinan Kapten Hussein (Akhi) di Kelana Jaya jam 9.30 malam pada 17 Februari lalu.
 
“Kami ingin tegaskan bahawa jumhur ulama termasuklah Mazhab Imam Syafie berpandangan bahawa kesalahan liwat adalah diqiyaskan termasuk kategori zina yang mana tuduhan liwat tanpa empat orang saksi adalah merupakan jenayah qazaf,” katanya.
 
Justeru beliau berkata, demi menegakkan hak dan keadilan serta memartabatkan perundangan syariah Selangor, kenyataan terbuka Shafee tersebut harus disiasat.
 
“Kami menggesa ia disiasat mengikut Seksyen 36 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995.
 
“Pihak kami akan memberikan kerjasama kepada Penguatkuasa Jais sekiranya diperlukan,” katanya.