• Dewan Ulama gesa siasatan telus terhadap Mara Inc Suhaimi (kiri) menerima memorandum daripada Mahfodz (dua dari kanan) di hadapan bangunan Mara di sini, hari ini.
1 / 1
KUALA LUMPUR - Dewan Ulama Pas Pusat hari ini menggesa agar siasatan segera dijalankan dengan telus dan jujur berkaitan tuduhan rasuah terhadap syarikat subsidiari Majlis Amanah Rakyat (Mara), Mara Incorporate Sdn Bhd (Mara Inc).

Ketuanya, Datuk Dr Mahfodz Mohammad berkata, laporan akhbar Australia, The Age itu menunjukkan rakyat telah disembunyikan maklumat oleh kerajaan selama ini sedangkan kes itu berlaku pada 2013.

"Dewan Ulama Pas Pusat amat menyesali perkara ini sekiranya benar sebagaimana dilaporkan The Age dan ini menunjukkan rakyat disembunyikan fakta sebenar oleh kerajaan dan Mara. Rakyat sepatutnya berhak untuk mengetahui hal seumpama ini terutamanya apabila melibatkan dana awam serta kepentingan negara.

"Oleh itu, Dewan Ulama menuntut siasatan yang telus dan jujur terhadap dakwaan rasuah itu," katanya padda sidang media di hadapan bangunan Mara selepas menyerahkan memorandum kepada Mara, hari ini.

Memorandum tersebut diterima oleh Setiausaha Majlis Mara, Suhaimi Zainuddin untuk diserahkan kepada pihak pengurusan Mara.

Dalam memorandum itu menggariskan beberapa kewajaran siasatan itu dijalankan secara telus dan jujur termasuk kerana ia melibatkan integriti pegawai-pegawai yang telah diberi amanah.

"...negara tidak sunyi dari isu penyelewengan pengurusan wang negara menyebabkan usaha Malaysia untuk menjadi negara maju mungkin hhanya mimpi indah sahaja.

"Siasatan dan tindakan seterusnya amat penting untuk memastikan tindakan yang tegas oleh kerajaan bagi menghentikan salahlaku dan penyelewengan beberapa institusi kewangan gergasi yang melibatkan dana rakyat dan awam," katanya.

Beliau turut berharap agar pesalah dikenakan hukuman seadil dan sewajarnya agar ia menjadi pengajaran dan tidak berulang lagi.

Namun, beliau sempat memberi amaran bahawa pihaknya tidak akan berdiam diri sekiranya pihak Mara dan kerajaan hanya berpeluk tubuh terhadap isu tersebut.

Sebelum ini, ahkbar Australia, The Age melaporkan seorang pegawai tinggi Mara, seorang pegawai kanan dan seorang bekas ahli politik didakwa membelanjakan berjuta-juta dana kerajaan untuk membeli satu blok pangsapuri di Melbourne, Australia dalam penipuan
hartanah.

Akhbar itu mendakwa 'sekumpulan pegawai Malaysia yang amat kaya' terlebih bayar sebanyak RM13.8 juta bagi blok pangsapuri di bandaraya itu pada 2013.

Ketiga-tiga individu itu didakwa membida lebih tinggi bagi bangunan yang dikenali 'Dudley International House' daripada A$17.8 juta kepada A$22.5d juta dengan wang perbezaan itu dijadikan sebagai rasuah di tanah air.

Dudley International House merupakan asrama pelajar dibeli oleh Mara yang menyediakan biasiswa pelajar Malaysia melanjutkan pelajaran di luar negara.