• Tuan Ibrahim Tuan Man Tuan Ibrahim
1 / 1
SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu bercuti daripada tugasnya sehingga selesai siasatan ke atas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan terbaru skandal Mara Inc dalam pembelian hartanah berkontroversi di Australia.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, langkah itu wajar dilakukan pemimpin itu bagi memastikan Jabatan Audit Negara tidak diganggu dalam menyiapkan laporan 1MDB kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

“Memandangkan Najib sendiri yang mengarahkan pihak berkuasa menjalankan siasatan telus terhadap kes ini, maka wajarlah Najib mengambil langkah pertama untuk bercuti, begitu juga dengan (Pengerusi Mara, Tan Sri) Annuar Musa sehingga siasatan selesai.

“Cuti ini pun wajar untuk memastikan persepsi ‘tiada gangguan’ terhadap kerja Jabatan Audit dalam menyiapkan laporan 1MDB kepada PAC yang dijangka siapa pada akhir bulan ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Tan Sri Annuar Musa memberi tempoh tujuh hari kepada anak syarikatnya Mara Inc untuk menjawab berhubung dakwaan skandal pembelian hartanah di Melbourne, Australia.

Annuar berkata, Mara akan mengadakan mesyuarat khas bagi meneliti pembelian blok apartmen Dudley International House yang dijadikan asrama pelajar tajaan agensi kerajaan itu sepertimana yang dilapor akhbar The Age.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim juga berkata pendedahan Annuar tentang pembelian hartanah tersebut yang didakwa diluluskan oleh Majlis Ekonomi yang dipengerusikan Najib sendiri adalah sangat memalukan.

“Pendedahan Annuar Musa menandakan pemimpin Umno sudah mula keberatan untuk menanggung tugas menjawab keputusan-keputusan perniagaan yang kontroversi yang melibatkan Najib.

“Banyak keputusan perniagaan berkontroversi seperti 1MDB, penyenaraian Felda Global Venture (FGV), Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), pembelian tanah 1MDB oleh Tabung Haji dan kini Mara telah berlaku di bawah kepimpinan Najib,” katanya lagi.