• Annuar Musa Annuar Musa
1 / 1
SHAH ALAM – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini memulakan siasatannya ke atas anak syarikat Majlis Amanah Raya (Mara), Mara Incorporated Sdn Bhd berhubung skandal pembelian hartanah di Melbourne, Australia.
 
Pengarah Siasatannya, Datuk Mohd Jamidan Abdullah berkata, tindakan itu selaras dengan peruntukan Akta SPRM 2009 dan pihaknya telah menghantar pegawai ke Melbourne untuk mendapatkan dokumen dan maklumat untuk membantu siasatan.
 
“SPRM telah memanggil beberapa individu dan akan memanggil lagi individu-individu yang ada kaitan dengan isu ini untuk diambil keterangan. Sehubungan itu, mana-mana pihak yang ada maklumat dan bukti, boleh juga menyalurkan kepada SPRM,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
 
Terdahulu, akhbar Australia, The Age mendedahkan anak syarikat Mara itu membida harga lebih tinggi bagi memiliki blok apartmen Dudley International House AS$17.8 juta (RM51.5 juta) kepada A$22.5 juga (RM65 juta).
 
Pengerusi Mara, Tan Sri Annuar Musa dalam satu sidang media pada Rabu menjelaskan keputusan urus niaga itu dibuat pada Mac 2013 dan mengakui pembelian pangsapuri itu jauh lebih tinggi berbanding harga asal yang ditawarkan.
 
Dalam perkembangan sama, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh menyerahkan dokumen berkaitan pembelian sebuah blok pangsapuri itu oleh Mara Inc kepada ibu pejabat SPRM, Putrajaya, pada pukul 12.10 tengah hari, hari ini.
 
“Saya hadir di SPRM hari ini untuk menyerahkan beberapa dokumen berhubung pembelian pangsapuri di Melbourne kepada SPRM bagi membantu siasatan.
 
“Selain itu, Mara juga akan menambah satu lagi auditor di bawah Unit Integriti Mara bagi melakukan siasatan dalaman agar siasatan lebih terperinci dapat dijalankan,” katanya.