Mara Inc didakwa ada 3 hartanah lain di Australia
- Rafizi (kiri) bersama Akmal Nasir menunjukkan bukti pembelian empat hartanah oleh Mara Inc di Australia pada sidang media di ibu pejabat NOW, Sungai Besi, Kuala Lumpur. - Foto Sinar Online oleh NIZAM ZAIN.
KUALA LUMPUR - Pusat Pemantauan dan Pendedah Maklumat Nasional (NOW)
hari ini mendedahkan tiga lagi hartanah yang didakwa dibeli oleh anak
syarikat Majlis Amanah Raya (Mara), Mara Incorporated Sdn Bhd di
Melbourne, Australia.
Pengarah Eksekutifnya, Rafizi Ramli mendakwa, dokumen dalaman Mara
berbentuk taklimat kepada Pengerusi Mara, Tan Sri Annuar Musa
menunjukkan Mara Inc mempunyai pegangan penuh tiga lagi hartanah lain
iaitu 746 Swanston Street, 333 Exhibition Street dan 51 Queen Street.
"Saya berjaya mendapat satu dokumen dalaman Mara yang digunakan dalam
satu taklimat kepada Annuar dan delegasi Mara mengenai pembelian
hartanah itu.
"Taklimat itu diberikan pada 20 Mei 2014 di Melbourne, Australia dan
selain dari Annuar sendiri, delegasi Mara itu turut disertai oleh Datuk
Lam Allani iaitu individu yang dikaitkan bertanggungjawab dengan
pembelian hartanah ini," katanya pada sidang media di ibu pejabat NOW,
di sini, hari ini.
Terdahulu, akhbar Australia, The Age mendedahkan anak syarikat Mara itu
membida harga lebih tinggi bagi memiliki blok apartmen Dudley
International House AS$17.8 juta (RM51.5 juta) kepada A$22.5 juga (RM65
juta).
Pengerusi Mara, Tan Sri Annuar Musa dalam satu sidang media pada Rabu
menjelaskan keputusan urus niaga itu dibuat pada Mac 2013 dan mengakui
pembelian pangsapuri itu jauh lebih tinggi berbanding harga asal yang
ditawarkan.
Mengulas lanjut, Rafizi juga berkata bagi tujuan mengaburi mata, Mara
Inc didakwa menubuhkan beberapa syarikat untuk memiliki hartanah
tersebut.
"Mara Inc menubuhkan satu syarikat milik penuh di luar pesisir pantai
(Offshore company) yang didaftarkan di British Virgin Island (BVI) untuk
memiliki dua hartanah itu (746 Swanston Street dan Dudley International
House).
"Bagi dua lagi hartanah (333 Exhibition Street dan 51 Queen Street),
Mara Inc menggunakan tiga lapisan syarikat di negara yang berbeza untuk
memiliki hartanah itu," ujarnya.
Antara syarikat yang mempunyai pegangan hartanah dalam 333 Exhibition
Street ialah Powerwell Holdings Limited di Labuan, Carlton Garden Pte
Ltd di Singapura dan Quenville Pty Ltd di Australia.
0 orang berkata:
Post a Comment