Rayani Air mohon maaf, minta tak 'serbu' pejabat
Rayani Air.
SHAH ALAM – Pihak pengurusan syarikat penerbangan Rayani Air meminta
orang ramai yang ingin menuntut bayaran balik tiket penerbangan supaya
bersabar dan tidak datang ke pejabat.
Dalam satu kenyataan, Rayani Air menjelaskan, buat masa ini, pejabatnya
masih tidak beroperasi berikutan kegagalan pelabur memberikan komitmen
dengan baik.
Rayani Air dalam pada itu turut memohon maaf kerana masih tidak mampu
membuat pembayaran balik ke atas tiket penerbangan pelanggan mereka.
“Penarikan balik lesen-lesen ASL (Lesen Perkhidmatan Udara) dan ASP
(Permit Perkhidmatan Udara) kami dibuat ketika kami sedang memuktamadkan
pelaburan ke dalam syarikat penerbangan ini. Dengan penarikan balik
lesen-lesen ini, tiada pelabur yang mahu bekerjasama dengan kami.
“Dengan penarikan balik lesen-lesen tersebut, pihak pelabur yang telah
memberikan komitmen memasukkan dana pada 30 Jun 2016 bagi menyelesaikan
refund telah menarik diri di luar jangkaan kami,” kata pihak Rayani Air
seperti yang dipetik menerusi kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun, pihaknya sedang berusaha keras untuk diberikan peluang kedua beroperasi.
Jelas pihaknya lagi, dengan peluang kedua, pelabur akan mengambil alih
pemilikan syarikat dengan kumpulan pengurusan baharu yang lebih baik.
“Kami tidak boleh menjanjikan tarikh ia dapat dilaksanakan, namun yang
pasti keutamaan kami adalah obligasi kami terhadap pelanggan.
“Kami akan membuat pengumuman rasmi sebaik mendapat berita positif,” katanya lagi.
0 orang berkata:
Post a Comment