'Saya tidak terlibat tetapi diperangkap'
PELAKON, pengacara dan pelawak Adlin Aman Ramlie
percaya dirinya diperangkap dan telah disalahgunakan sebuah syarikat
pelaburan hartanah.
Selebriti berusia 44 tahun itu yang ditahan pada 20 Julai lalu menafikan dia ditahan reman seperti yang didakwa.
“Ia bukan reman. Polis datang ke rumah pada jam 2.30 petang. Mereka
minta saya hadir ke Bukit Aman dan kemudiannya membawa saya ke Balai
Polis Dang Wangi.
“Selepas berpuas hati dengan keterangan yang diberikan, saya akhirnya
dibebaskan di bawah jaminan polis,” katanya pada sidang media khas yang
diadakan di Sri Pentas TV3, hari ini.
Adlin turut meluahkan rasa kesalnya apabila ada laporan media menyatakan dia direman selama empat hari.
"Semua berlaku kurang daripada 24 jam, bukan seperti didakwa. Kerana
itu, ramai keliru dan membuat pelbagai andaian terhadap saya," katanya.
Adlin yang popular dengan filem Lost and Found juga melahirkan
kekecewaan apabila namanya telah disalahguna dan berasa seperti
diperangkap selain dieksploitasi seterusnya menjadi mangsa kambing
hitam.
“Saya mengaku memang mengenali dengan individu yang disyaki terbabit dalam penipuan hartanah berkenaan.
“Saya dipanggil oleh syarikat tersebut dan gaji saya dibayar
berdasarkan tugas sebagai pakar motivasi ataupun sebagai artis jemputan.
Itu sahaja, tidak ada kena mengena dengan syarikat mereka pun," katanya
yang aktif dalam perniagaan Multi Level (MLM) sejak empat tahun lalu.
0 orang berkata:
Post a Comment