Keputusan PKR tamparan hebat kepada DAP
GEORGETOWN- Keputusan PKR yang masih belum yakin dengan cadangan DAP
untuk mengadakan pilihanraya negeri (PRN) dilihat satu tamparan hebat
terhadap Ketua Menteri, Lim Guan Eng.
Pengerusi Umno negeri, Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata, dengan
kenyataan media oleh Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
kelmarin, ia jelas menunjukkan DAP masih gagal mendapat sokongan rakan
kongsi utama mereka bagi mengadakan PRN lebih awal.
Menurutnya, keputusan mesyuarat PKR yang diadakan malam semalam jelas menunjukkan maruah dan kredibiliti Guan Eng tercalar.
"Seperti yang diduga, PKR sekali lagi menyatakan mereka belum yakin
dengan cadangan Guan Eng dan DAP untuk mengadakan PRN lebih awal dan
Amanah pula mengambil sikap 'tunggu dan lihat'. Ini merupakan satu
tamparan hebat kepada ego Guan Eng dan DAP yang masih gagal mendapatkan
sokongan rakan kongsi utama mereka bagi mengadakan pilihanraya negeri
lebih awal.
" Kegagalan Guan Eng meyakinkan sekutu politiknya untuk menyokong
cadangan beliau telah mencalar maruah dan kredibilitinya sebagai
Setiausaha Agung DAP dan Ketua Menteri Pulau Pinang serta menghakis
keyakinan dan hormat rakyat terhadap beliau sebagai seorang pemimpin
utama pakatan parti pembangkang," katanya menerusi kenyataan medianya
hari ini.
Semalam, Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR memutuskan secara sebulat
suara bahawa parti itu masih belum yakin dengan cadangan tersebut.
Kenyataan itu dibuat Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selepas mesyuarat yang diadakan di ibu negara.
Menurutnya, mengambil semangat setiakawan, PKR tetap bersedia untuk
meneruskan perbincangan dengan parti rakan di dalam Pakatan Harapan.
Zainal Abidin berkata, dengan keputusan PKR itu, DAP jelas tidak mendapat sokongan 10 Adun PKR di negeri ini.
"Cadangan mengadakan PRN menunjukkan ia satu langkah tergesa-gesa dan
terburu-buru yang dibuat Guan Eng dan DAP. Mereka kini dalam keadaan
panik setelah Guan Eng sendiri dihadapkan ke mahkamah kerana dua
pertuduhan jenayah rasuah.
"Dengan keputusan PKR semalam (kelmarin), ia bermakna 10 Adun PKR di
Pulau Pinang belum bersetuju dengan pembubaran segera Dun malah Pas yang
mempunyai seorang Adun juga tidak bersetuju selepas kenyataan dibuat
pemimpin mereka baru-baru ini," katanya.
Menurutnya, Guan Eng perlu mengambil tindakan bermaruah dengan melepaskan jawatannya segera.
"Percubaan Guan Eng untuk mengheret rakyat ke dalam masalah peribadi
beliau, dengan cadangan membubarkan Dun bagi mengadakan PRN jelas
ditolak.
"Berdasarkan perkembangan terkini itu, beliau seharusnya mengambil
tindakan bermaruah dan berintegriti melepaskan jawatan sebagai Ketua
Menteri Pulau Pinang dengan segera," katanya.
0 orang berkata:
Post a Comment