Pakatan baharu: Pemuda Pas tunggu dan lihat
KUALA LUMPUR - Pemuda Pas memilih untuk tunggu dan lihat berhubung
perancangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk
membentuk pakatan pembangkang yang baharu dalam masa terdekat.
Naib Ketua Pemudanya, Ir Khairil Nizam Khiruddin berkata, pihaknya
tidak mahu mengulas sesuatu yang masih belum menjadi kenyataan.
“Kita hanya akan respons isu pakatan baharu itu selepas ia wujud.
Sekarang ini, Tun Mahathir pun pening bila nak buat, apa visi dan
misi...jadi, kita tunggu dan lihat. Kita kena tunggu dulu kalau tidak
kita bermain dengan andaian. Dalam politik, andaian ini berbahaya.
“Untuk blok pembangkang itu, kita masih terbuka. Kita tunggu apa yang
berlaku. Jika Tun Mahathir menubuhkan parti yang baharu, kita lihat dulu
apa komposisinya dan kalau perlu ada kerjasama, ia akan berlaku
perbincangan yang lebih dalam di peringkat parti,” katanya ketika
ditemui pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Pemuda Pas dan Pasti
Wilayah Persekutuan, semalam.
Sebelum ini, Mahathir mengumumkan hasrat menubuhkan parti politik yang
baharu dalam masa terdekat diikuti dengan pembentukan pakatan
pembangkang yang baharu bersama parti-parti pembangkang sedia ada bagi
menghadapi PRU14.
Ketika diminta mengulas kemungkinan bekas sekutunya, DAP dan bekas
rakannya, Parti Amanah Negara (Amanah) bersama-sama dalam pakatan
pembangkang yang baharu itu, ini jawapan Pemuda Pas.
“Kita ambil pendekatan yang tetap. Jika dalam pakatan itu adanya DAP,
kita tidak akan bekerjasama dengan DAP. Jika ada Amanah, kita tidak akan
kerjasama dengan Amanah. Jika tidak ada dua parti itu, pintu
perbincangan terbuka,” katanya.
Menyentuh blok politik ketiga yang diumumkan partinya sebelum ini,
Khairil Nizam yang juga Ketua Pemuda Pas Wilayah Persekutuan berkata,
pihaknya konsisten dalam memperkasakan blok politik tersebut bersama
Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) dan NGO-NGO yang lain.
“Terbaharu, kita membuat program penerangan RUU 355 (Akta Mahkamah
Syariah – bidang kuasa jenayah). Ada juga NGO di bawah kerajaan dan
Alhamdulillah mereka juga bersama-sama menyokong RUU 355.
“Jadi, ini blok politik ketiga yang kita nak bawa. Satu blok politik
yang membawa politik secara matang dan kalau boleh kita bekerjasama
untuk kebaikan rakyat dan Islam, kita akan terus bekerjasama.
Alhamdulillah kerjasama kita bersama Ikatan berjalan dengan baik,”
katanya.
Dalam pada itu, beliau sekali lagi menegaskan, kerjasama Pas dengan
Umno bukan dari sudut politik sebaliknya hanya dalam perkara-perkara
yang memberi kebaikan kepada rakyat.
“Kita tidak akan ada kerjasama politik dengan Umno. Dalam PRU14 pun,
kita tetap tidak akan bersama dengan Umno dalam blok politik.
“Kita tetap lawan Umno. Itu pesan kami kepada Datuk Seri Khairuddin
(Abu Hassan). Kami konsisten dan tidak akan bekerjasama dengan Umno.
Cuma taa’wun siyasi dengan Umno dalam sudut perkara-perkara yang memberi
kebaikan kepada rakyat,” katanya ketika diminta mengulas peringatan
Khairuddin.
Semalam, Khairuddin yang merupakan bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu
Kawan itu mengingatkan Pas agar berhati-hati dengan setiap gerak-geri
politiknya bersama BN demi menjaga reputasi parti Islam itu.
0 orang berkata:
Post a Comment