Pilihan raya tergempar: Rundingan masih terbuka
PETALING JAYA - PKR masih belum diyakinkan dengan tujuan atau matlamat
bagi mengadakan pilihan raya tergempar di Pulau Pinang, Presidennya
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata.
Bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat mingguan biro politik PKR
di ibu pejabat parti itu di sini, malam tadi, Wan Azizah berkata parti
itu bagaimanapun tidak menutup pintu perbincangan.
"Kami belum diyakinkan dengan tujuan atau matlamat untuk mengadakan pilihan raya tergempar.
"Namun, pimpinan Keadilan bersedia untuk meneruskan perbincangan dengan
pimpinan parti-parti komponen Pakatan Harapan mengenai isu ini,"
katanya.
DAP sebelum ini mengakui pilihan raya mengejut di negeri itu adalah
satu daripada pilihan kepimpinan kerajaan negeri berkenaan selepas Ketua
Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng diheret ke mahkamah atas tuduhan
rasuah.
Semalam, media melaporkan Guan Eng bersama rombongan pemimpin DAP akan
hadir pada mesyuarat itu bagi memberi taklimat mengenai kemungkinan
diadakan pilihan raya mengejut, namun mesyuarat tersebut berlangsung
tanpa kehadiran Guan Eng.
[ARTIKEL BERKAITAN: Pemimpin PKR bincang pilihan raya mengejut malam ini]
Guan Eng, 56, baru-baru ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi
Pulau Pinang terhadap dua pertuduhan rasuah berhubung penukaran zon
pertanian kepada zon perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo di
bawah nilai pasaran.
Sementara itu, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali
tidak menolak kemungkinan mesyuarat mengenai pilihan raya tergempar itu
diadakan dalam masa terdekat.
"Kami telah bincang dalam mesyuarat tadi. Memang ada cadangan untuk
pilihan raya tersebut, tetapi kami perlukan penjelasan daripada kerajaan
negeri," katanya yang juga Menteri Besar Selangor dan Ahli Parlimen
Gombak. - Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment