Mahfuz kesal tindakan Pemuda Umno lapor polis
SHAH ALAM - Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar melahirkan rasa
kesal terhadap tindakan Naib ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun
memfailkan laporan polis terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed, bekas
Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dan bekas Peguam Negara,
Tan Sri Abd Gani Patail.
Katanya, tuduhan terhadap ketiga mereka didakwa menjual dokumen
maklumat siasatan dan kepada Amerika Syarikat termasuk Biro Siasatan
Persekutuan (FBI) tidak masuk akal kerana mereka telah banyak berjasa
dan mencurah bakti pada negara.
“Saya terkejut dengan laporan yang dibuat ke atas ketiga-tiga mereka.
Mereka ini telah banyak berjasa, menyumbang untuk mengangkat martabat
negara dari sudut ekonomi dan kewangan, perundangan dan memerangi
rasuah.
“Mereka ini pegawai serta kakitangan kerajaan jujur,ikhlas dan berintegriti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pemuda Umno semalam membuat laporan polis terhadap tiga individu atas
dakwaan cuba menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Naib ketua sayap Umno itu, Khairul Azwan Harun membuat laporan itu di
Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi terhadap Zeti, Abdul Gani dan Abu
Kassim.
Mahfuz dalam pada itu juga menganggap tuduhan terhadap Zeti, Abd Gani
dan Abu Kassim sebagai serangan dan ugutan politik terhadap pegawai dan
kakitangan kerajaan seluruhnya.
“Tuduhan Pemuda Umno dan Umno yang Abu Kassim,Zeti dan Gani sebagai
berkomplot dengan Amerika Syarikat untuk menggulingkan Najb dan kerajaan
sebenarnya adalah satu pengisytiharan perang terhadap pegawai dan
kakitangan kerajaan.
“Kepada Abu Kassim, Zeti dan Gani, semoga tabah menghadapi cabaran di
penghujung usia. Saya percaya apa yang anda lakukan didorong oleh
keberanian dan kebenaran,” katanya lagi.
0 orang berkata:
Post a Comment