Pemuda Umno dakwa tiga individu komplot gulingkan PM
KUALA LUMPUR - Pemuda Umno hari ini membuat laporan polis mendakwa
seorang pegawai tertinggi kerajaan dan dua bekas pegawai tertinggi
kerajaan terlibat dalam konspirasi untuk menggulingkan Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan Malaysia.
Laporan polis berkenaan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi
pada 1 tengah hari tadi oleh Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan
Harun.
Dalam laporan itu, Khairul Azwan menyatakan nama tiga individu tersebut
sama ada secara berseorangan atau bersama terlibat dalam satu
konspirasi untuk menggulingkan Najib sebagai perdana menteri dan
kerajaan Malaysia yang sah.
Katanya, beliau mempunyai sebab-sebab untuk mempercayai
individu-individu tersebut telah memberi maklumat sulit dan dokumen
kepada agensi-agensi di Amerika Syarikat termasuk pihak FBI (Biro
Siasatan Persekutuan).
"Maklumat-maklumat dan dokumen-dokumen ini telah diberikan kepada pihak
asing tanpa kelulusan yang sah oleh pihak berkuasa Malaysia yang
berkenaan termasuk Jabatan Peguam Negara dan sebahagian besar daripada
maklumat tersebut adalah direka, dipalsukan serta diputar belit untuk
mencapai tujuan-tujuan jahat," katanya kepada Bernama ketika dihubungi.
Khairul Azwan berkata, perkara yang beliau laporkan bukanlah dakwaan
semata-mata tanpa asas dan beliau meminta pihak polis untuk menyiasat
perkara itu dengan segera.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Zainol Samah mengesahkan menerima laporan itu. - Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment