Penoreh getah didakwa bunuh suami
TEMERLOH - Seorang penoreh getah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini
hari ini, atas tuduhan membunuh suaminya di rumah mereka dekat sini
Khamis lalu.
Tertuduh Ladinah Dolah Asli, 33, yang kelihatan tenang sepanjang
prosiding sekadar mengangguk kepala tanda faham terhadap pertuduhan yang
dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya.
Wanita bertubuh kecil itu didakwa membunuh Awang Mohamad, 42, antara
pukul 6.30 dan 7 pagi, 30 Jun lalu di rumah tidak bernombor di Kampung
Paya Besar, Chenor, dekat sini.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Irmawathy Mohamad
Yusof mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman
gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.
Ahmad Faizadh membenarkan permohonan pendakwaan untuk menghantar
tertuduh menjalani penilaian psikiatri dan menetapkan 3 Ogos depan
sebagai tarikh sebutan semula untuk mendapatkan laporan bedah siasat. -
Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment