Isu Pakatan: Apakah ada jalan keluar?
BILA mana tentera sudah tidak tahu mana satu musuh yang menjadi sasaran, lalu mereka menembak sesama sendiri.
Situasi tersebut ibarat keadaan parti politik di Malaysia hari ini yang
lebih banyak menghalakan senjata kepada bukan sasaran sebenar. Akibat
dari kecamuk ini, kekeliruan timbul - siapa ialah musuh sebenar?
Nampaknya musim melawaskan sudah tiba, di mana daun keguguran dan hasil
sangat berkurangan bagi parti-parti politik di Malaysia. Barangkali
inilah putaran politik negara sebagaimana putaran semua perkara.
Apakah harus kegawatan ini dibiarkan berterusan?
Negara perlu diselamatkan dari kerosakan yang sangat menakutkan sekarang.
Kedudukan kewangan negara yang kritikal, bebanan kos hidup rakyat yang
meningkat, puluhan ribu rakyat kehilangan pekerjaan, peruntukan kerajaan
yang terpaksa dipotong, penyelewengan, pencucian wang haram, rasuah dan
pembaziran di kalangan pemimpin utama negara yang semakin menjadi-jadi,
isu kebejatan moral masyarakat yang makin menipis adalah antara ratusan
isu besar yang memerlukan perhatian.
Sepatutnya semua menghalakan senjata kepada musuh sebenar, kerana
sekuat mana musuh sebenar apabila semua serangan dituju kepadanya akan
pasti tumbang akhirnya.
Namun, apa yang terjadi ialah masing-masing ingin menjadi hero bagi
membuktikan ‘akulah yang berjaya menumbangkan musuh.’ Maka, sesiapa yang
berpotensi menjadi hero mesti dihapuskan dahulu kerana masing-masing
percaya bahawa diri sendiri sahaja yang layak menumbang musuh.
Setelah saingan dikalahkan, barulah senjata dihalakan kepada musuh sebenar. Inilah situasi terkini dunia politik tanah air.
Apakah musuh telah berjaya menyerap masuk dalam kem lalu menyamar
sebagai kawan sehingga mencetuskan porak-peranda dari dalam sehingga
masing-masing hilang kepercayaan antara satu sama lain?
Lihat sahaja kemelut yang berlaku dalam PKR, Pas, PAN, DAP dan semua
parti utama termasuklah juga apa yang berlaku dalaman BN khasnya Umno.
Di kalangan blok pembangkang juga tidak kurang hebatnya di mana ahli
parti menyerang kepimpinan parti sendiri dan antara satu parti menyerang
parti lain.
Rakyat teramai keliru dan ada yang ketawa sendirian dan ada yang
menggeleng kepala melihat keadaan politik pembangkang hari ini. Semua
tersekat di dalam lumpur. Nak ke depan tak jelas jalan mana. Nak undur
ke belakang rasa nak ke hadapan. Nak kekal tak jadi sebab dah tahu pasti
tenggelam. Inilah yang sedang dirasai rakyat teramai.
Persoalannya, apakah ada jalan keluar?
Pertama, parti-parti pembangkang perlu melaksanakan gencatan serangan
sesama sendiri bagi memberi fokus kepada musuh sebenar (Umno-BN).
Jangan pedulikan tulisan murahan cybertrooper yang suka melagakan
antara satu sama lain. Golongan ini akan ada di setiap zaman dan tempat.
Apa yang penting dilihat ialah masa depan negara. Kerana masa depan
rakyat, agama, bangsa bahkan parti politik hanya akan wujud bila adanya
kestabilan negara.
Kedua ialah mencari titik kompromi, di mana ia tentu akan memerlukan tolak ansur satu sama lain.
Namun, jalan kompromi ini tidak mudah.
Pertama, tiada satu ubat mujarab yang dapat menyembuhkan luka mendalam di hati antara parti-parti pembangkang.
Kedua ialah apakah perkara yang perlu di kompromi dan apa yang tidak boleh di kompromi?
Banyak persamaan yang perlu diutamakan berbanding hanya beberapa
perkara sahaja yang berbeza. Dalam mewujudkan toleransi politik yang
baik, tentulah usaha perlu diambil bagi memperbesarkan persamaan dan
mengecilkan ruang perbezaan.
Dalam setiap kali kerjasama politik, sejarah telah membuktikan bahawa
Pas sebagai parti lama selalu mengambil sikap berjiwa besar mengorbankan
kerusi, berkongsi jentera serta memberikan bantuan kewangan kepada
rakan-rakan parti.
Apakah ini tidak cukup sebagai rakan parti?
Bagi Pas, semua tahu bahawa Pas tidak akan berkompromi dalam perkara
yang menjadi dasar dan prinsip Islam yang tidak akan melampaui dan
mencabul hak bukan Islam.
Pas tegaskan bahawa kami tidak akan mengorbankan prinsip dan dasar
Islam yang menjadi teras perjuangan Pas sejak ditubuhkan dan inilah
pegangan semua kepimpinan parti dari dahulu sehingga kini.
Kalau prinsip dan dasar Islam yang dibawa Pas adalah titik perbezaan,
langkah komprominya ialah hormati perbezaan itu dan jangan dijadikan ia
sebagai titik pertikaian selagi Pas memperjuangkan dasarnya dalam ruang
demokrasi yang ada.
Dengan niat yang betul, kompromi boleh dicapai dengan hanya memfokuskan
apa yang boleh disumbangkan oleh setiap parti tanpa perlu menggadaikan
dasar parti masing-masing.
Jika titik kompromi tidak dapat dicapai, terpaksalah semua parti
pembangkang bersedia untuk menang jadi arang, kalah jadi abu di PRU akan
datang.
Jika titik kompromi dijumpai, percayalah yang menjadi abu hanyalah satu, iaitu Umno-BN.
TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Timbalan Presiden Pas
13 Julai 2016
2 orang berkata:
Saya secara peribadi tidak bersetuju ada rundingan baru terutama dgn DAP Dan kodamnya PAN.
Kahkahkah
Post a Comment