Bendera BN di stesen komuter jadi bahan ketawa
22 Jamadil awal 1433H,
KUALA LUMPUR, 14 April: Teras Pengupayaan Melayu (Teras) melahirkan kekesalan jika benar stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) menjadi tempat bendera parti politik digantung.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, ia bukan sahaja tidak wajar malah ia akan menjadi bahan ketawa pengamat politik dari luar.
“Apakah kempen parti politik harus mencemari kawasan awam?” soalnya dalam satu kenyataan mengulas laporan portal berita Malaysiakini mengenai perkara itu.
Justeru, katanya, Teras mempersoalkan apakah peraturan yang telah ditetapkan dalam hal menggantung bendera termasuk membenarkan tempat awam seperti stesen KTM dilibatkan.
Katanya, kempen parti politik dengan perang bendera seharusnya mempunyai batas.
Beliau menambah, rakyat pasti tidak dapat menerima kegelojohan parti politik yang memenuhi bendera di tempat awam bertujuan berkempen kerana ia seperti tindakan kebudak-budakan.
Kata Azmi lagi, setelah Pilihan raya Umum dilaksanakan sebanyak 12 kali, apakah rasional kempen seperti itu perlu dilakukan.
Baginya, perlakuan seperti itu menunjukkan kerendahan pemikiran parti politik menghina minda rakyat.
“Jangan sampai rakyat menjadi mual dan muak dengan keghairahan yang melampau dari gelagat parti BN,” ujarnya lagi.
Sehubungan itu, tegasnya Teras menuntut agar pihak berkuasa serta pihak SPR mengawal mana-mana parti politik dari mencemari kawasan awam digantung bendera sesuka hati supaya ia tidak mengganggu keselesaan orang awam.
“Cukuplah bendera parti digantung di tepi-tepi jalan raya, itupun harus mematuhi peraturan yang ditetapkan.
“Membenarkan semua tempat dipenuhi dengan bendera parti amat mencemarkan pemandangan dan menunjukkan ketidakmatangan di pihak parti yang berkenaan,” katanya.-HD
0 orang berkata:
Post a Comment