• Ahmad Phesal Datuk Bandar KL baru Datuk Ahmad Phesal Talib
1 / 2
KUALA LUMPUR - Dataran Merdeka tidak akan dibenar sama sekali bagi digunakan untuk Himpunan Membantah Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), yang dijadual pada 1 Mei ini.
  
"Mereka boleh cari tempat yang lain, contohnya Padang Merbok, tetapi bukan di Dataran Merdeka yang masih dalam baik pulih", kata Datuk Bandar Datuk Ahmad Phesal Talib kepada pemberita selepas majlis memperkenalkan rakan penaja dan trofi 'Kuala Lumpur Mayor's Tourism Awards 2014' (KLMTA) di sini hari ini.
  
Beliau berkata demikian mengenai cadangan satu gabungan badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik untuk mengadakan perhimpunan itu sempena Hari Pekerja yang dirancang untuk bermula di KLCC dan berakhir di Dataran Merdeka.
  
Pada majlis berkenaan Datuk Bandar Kuala Lumpur turut memperkenalkan trofi khas yang akan dianugerahkan kepada 32 organisasi dan individu yang menyumbang kepada inovasi, menawarkan produk dan memberikan perkhidmatan yang berkualiti dan bertaraf antarabangsa.
  
Standard daripada penganugerahan itu akan dijadikan sebagai penanda aras dan akan dipraktikkan bersama sebagai usaha untuk memajukan industri pelancongan Kuala Lumpur.

"Daripada 32 anugerah itu, 18 adalah anugerah platinum manakala 14 lagi adalah anugerah emas", kata Ahmad Phesal.
  
Trofi bersadur logam rhodium ini mempunyai simbol 5 bintang emas KLMTA yang melambangkan prestij.
  
Rekaan luar biasa daripada 'Putman' dengan kerjasama Christofle International dan Christofle Malaysia telah menghasilkan sebuah trofi perak yang eksklusif bagi mengangkat status anugerah dan penerimanya.
  
Sehingga kini 613 pencalonan yang layak telah diterima untuk tujuh daripada 11 kategori yang diperkenalkan manakala empat lagi kategori masih lagi terbuka untuk pencalonan.
  
Empat kategori yang masih terbuka untuk pencalonan ialah kategori media (domestik dan antarabangsa), kategori penerbangan antarabangsa, kategori agensi pelancongan antarabangsa dan kategori Mayor's Commendable Awards. Pencalonan ini akan berakhir 7 Mei ini kerana memberi peluang kepada pencalonan antarabangsa yang banyak diterima untuk mereka menyerahkan borang pencalonan beserta dokumen sokongan.
  
Pengerusi KLMTA 2014 Datuk Seri Dr Victor Wee pula berkata, melihat kepada jumlah pencalonan yang diterima sehingga kini, anugerah ini mendapat sambutan yang baik serta menggalakkan daripada penggiat industri pelancongan di Kuala Lumpur.
  
"Saya yakin di akhir pencalonan jumlahnya akan meningkat kepada 650 pencalonan (sebanyak 613 pencalonan telah diterima daripada 7 kategori)", tambah beliau.
  
Dr Victor Wee mengumumkan tujuh kategori yang ditutup pencalonan ialah kategori penginapan, kategori restoran, kategori produk/pusat pelancongan, kategori pusat hiburan, kategori pusat membeli-belah, kategori penerbangan dan kegtegori pelancongan perubatan.
  
Majlis penganugerahan KLMTA, yang amat berprestij dan paling dinantikan oleh penggiat industri pelancongan di Kuala Lumpur, akan diadakan pada Jun ini. - Bernama