• Rafizi Ramli Rafizi Ramli
1 / 1
KUALA LUMPUR - Pendekatan yang digunakan antara PKR dan Umno dalam menarik sokongan golongan muda dan profesional itu adalah berbeza.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mendakwa, Umno-BN menggunakan pendekatan dengan menawarkan imbuhan termasuk jawatan penting dalam kerajaan dan GLC untuk meraih sokongan golongan itu.

"Mereka masuk PKR dalam keadaan sudah faham erti perjuangan, mereka masuk tidak meminta jawatan, tidak mengira kekurangan sumber yang PKR ada, mereka masuk tanpa menharapkan PKR boleh bagi kepada mereka.

"Pendekatan yang diambil Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar ialah memberi isyarat masuk biro profesional Umno ini sebagai jalan pintas untuk jawatan dalam kerajaan, GLC atau setiausaha politik menteri," katanya kepada Sinar Harian Online, di Menara Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas lanjut langkah Khairy semalam yang memperkenalkan Biro Profesional Muda untuk menarik sokongan golongan itu menjelang PRU14.

Mengulas lanjut, Rafizi mendakwa beliau ragu-ragu dengan inisiatif Pemuda Umno itu yang berkonsepkan imbuhan sekali gus menyebabkan golongan itu akan berebut jawatan.

"Saya ragu-ragu kerana akhirnya yang berlaku ramai yang masuk parti ini untuk merebut jawatan tertentu dalam kerajaan, GLC dan sebagai.

"Mereka ini juga akan melangkah aktivis parti sedia ada yang tidak masuk golongan profesional ini hingga menimbulkan pertembungan dan mewujudkan puak-puak serta kemarahan dalam Umno sendiri," katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menolak inisiatif sayap Umno itu mampu menarik penglibatan golongan profesional jika mereka menggunakan pendekatan yang diguna pakai PKR pada masa ini.

"Sebab itu saya tidak begitu bimbang dengan pendekatan yang diambil oleh Umno-BN kecuali mereka boleh buat seperti mana kita lakukan.

"Budaya dalam Umno itu adalah menawarkan imbuhan, kalau tiada tarikan itu orang tidak akan masuk," dakwanya lagi.