Notis tunjuk sebab PKR cacat, kata Abdul Khalid
SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang
diberi notis tunjuk sebab semalam gara-gara enggan meletak jawatan,
akhirnya telah mengemukakan surat tunjuk sebab kepada Lembaga Disiplin
PKR, hari ini.
Melalui surat yang ditujukan kepada Pengerusi Lembaga Disiplin PKR,
Datuk Dr Tan Kee Kwong, Abdul Khalid menyentuh soal notis tunjuk sebab
yang dikeluarkan terhadapnya itu yang disifatkan cacat.
“Menjadi keperluan bagi notis tunjuk sebab menyatakan dengan jelas dan
spesifik semua tuduhan yang dikenakan ke atas saya dengan menyatakan
pelanggaran mana-mana peruntukan dalam Perlembagaan parti serta
peruntukan di mana-mana hukuman boleh dikenakan terhadap saya.
“Pernyataan secara spesifik tersebut adalah wajar untuk YB Datuk
menyatakan secara bertulis. Malangnya setakat ini notis bertarikh 5 Ogos
2014 itu dilihat sebagai satu notis yang cacat, tanpa butir-butir
relevan serta memadai bagi membolehkan saya untuk menjawab,” katanya
yang dipetik dari surat tunjuk sebab berkenaan.
Menyentuh soal Langkah Kajang yang dilaksanakan parti itu, Abdul Khalid
mengingatkan bahawa ia cuba dilaksanakan sebagai satu arahan oleh parti
kepadanya tanpa memberi pertimbangan wajar.
“Sementara menunggu apa-apa notis tunjuk sebab yang sah, saya menarik
perhatian YB Datuk bahawa setiap masa material, Langkah Kajang (kononnya
dinamakan dan dirujuk YB Datuk) adalah sesuatu perkara yang tidak
dibincang oleh pihak-pihak berkenaan dalam cara yang efektif dan adil
dengan dan kepada saya.
“Sebaliknya, apa-apa keputusan yang dibuat berkenaan Langkah Kajang ini
telah cuba dilaksanakan sebagai satu ‘arahan’ oleh parti kepada saya
tanpa memberi perimbangan wajar bahawa tanggungjawab saya sebagai
menteri besar juga merangkumi tanggungjawab eksekutif terhadap semua
rakyat Selangor, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor termasuk
menasihati Sultan Selangor,” katanya.
0 orang berkata:
Post a Comment