• Keadaan kereta dinaiki mangsa yang terputus dua dan terhumban ke dalam parit. - Foto Sinar Harian Keadaan kereta dinaiki mangsa yang terputus dua dan terhumban ke dalam parit. - Foto Sinar Harian
1 / 1
KUANTAN - Perjalanan pulang tiga anggota tentera dari arah bandar Kuantan ke Kem Batu 10 dekat sini berakhir tragedi apabila tiga daripada mereka maut selepas kereta dinaiki terbabas dan melanggar sebatang pokok dalam kemalangan di Batu 3, Jalan Kuantan- Gambang, di sini, malam tadi.

Dalam kemalangan kira-kira jam 11.55 malam itu, kereta jenis Honda Ferio dinaiki mangsa terhumban  ke dalam parit dan terputus dua menyebabkan kesemua mangsa tercampak manakala tiga daripada mereka disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Mangsa yang maut dikenali sebagai, Mohd Fahmi Jap, 23 berasal dari Kg Bencang Becah, Kupang, Baling, Kedah,  Mohd Ilias Abu Seman, 23 dari Kg Alor Ann, Pendang, Kedah dan Mohd Faizal Zainol, 26, dari Kuala Trong,Trong, Perak.

Manakala pemandu kereta, Shamzuri Awang, 23, dari Kg Tunjong Bt 5 ½ , Jalan Kuala Krai,  Kota Bharu, parah dan dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk rawatan.

Pemangku Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri Deputi, Superintendan Mohamad Noor Yusof Ali berkata, ketika kejadian kesemua mangsa yang menaiki kereta jenis Honda itu dalam perjalanan dari bandar ini pulang ke Kem Batu 10, di sini.

Menurutnya, ketika tiba di tempat kejadian,  kenderaan yang dinaiki dipercayai  hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan sebelum merempuh sebatang pokok dan masuk ke dalam longkang.

"Rempuhan kuat  menyebabkan kereta tersebut terputus dua dan kesemua mangsa tercampak keluar secara berasingan menyebabkan tiga daripada mereka maut serta merta di tempat kejadian," katanya.

Mohammad Noor berkata, siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku dalam keadaan cuaca hujan lebat dan permukaan jalan yang licin.

“Kita percaya kereta terbabit hilang kawalan akibat jalan licin bagaimanapun punca sebenar kemalangan yang meragut tiga nyawa anggota tentera ini masih dalam siasatan dan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,”katanya.

Beliau berkata, kesemua mangsa yang maut di bawa ke HTAA Kuantan untuk
bedah siasat sebelum jenazah mereka dituntut dan dibawa pulang ke
kampung halaman untuk dikebumikan.

Difahamkan kesemua mangsa masih bujang dan mula bertugas dalam pasukan
itu antara 2008 hingga 2011.