• TIAN CHUA TIAN CHUA
1 / 1
SHAH ALAM - Nama Menteri Besar Selangor terus menjadi sebutan dalam Kongres Nasional PKR apabila Naib Presiden parti itu, Tian Chua hari ini menyifatkan ramai 'Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim' dalam parti itu.
Menurutnya, sikap yang ada pada Menteri Besar Selangor itu turut dimiliki oleh ahli-ahli yang lain.

"Rakan-rakan seperjuangan kita, bukan semua yang sempurna, bukan semua yang faham. Tapi dalam kerja ini kita perlu beri peluang untuk membetulkan keadaan, kesilapan rakan-rakan kita. Jangan kita sedikit saja, nak jatuhkan seseorang itu.

"Saya rasa yang kita nak lawan dan jatuhkan bukan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim seorang saja. Dalam kalangan kita ramai Abdul Khalid. Bukan atas nama yang sama tapi sikap itu," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional PKR, di sini, hari ini.

Beliau menegaskan, arahan parti yang menuntut Abdul Khalid meletakkan jawatannya itu sewajarnya dilaksanakan tanpa sebarang alasan.

"Kalau dalam TNB, Lembaganya membuat keputusan untuk ganti CEOnya, esok CEOnya akan diganti. Tidak wujud CEO itu kata, 'dulu saham ini 20 sen, saya sudah bawa sampai RM30, baru kamu nak ganti saya?

"Sebenarnya tidak perlu ada apa-apa alasan yang perlu diterangkan kerana ini keputusan pertubuhan kita," katanya.

Mengulas lanjut soal parti itu memiliki ramai Abdul Khalid, beliau berkata, "yang saya kata ramai (Abdul) Khalid ini ialah perkara ini berulang-ulang di setiap cabang. Nak ganti setiausaha cabang pun susah apatah lagi nak ganti menteri besar."