• Hadi Awang Hadi Awang
1 / 1
KUALA TERENGGANU - Pas negeri mengucapkan tahniah kepada Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang berjaya memimpin mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat, kelmarin.

Pesuruhjaya Pas negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, Abdul Hadi sudah membuat keputusan terbaik sekali gus membebaskan Pas daripada kemelut politik berikutan tindakan pihak yang gelojoh dan tergesa-gesa dalam menangani isu Menteri Besar Selangor.

Tambahan pula katanya, isu itu menimbulkan kegelisahan rakyat di seluruh tanah air khususnya warga negeri berkenaan.

“Menyedari kepimpinan itu merupakan amanah ALLAH SWT dan beban serta tanggungjawabnya begitu berat terhadap rakyat, maka apa sahaja keputusan yang diambil mestilah meletakkan syariah Islamiah sebagai panduan.

“Di samping kebijaksanaan berpolitik mencatur persekitaran semasa, maka alternatif dicadangkan Presiden Pas dipersetujui semua Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat dengan sebulat suara,” katanya dalam satu kenyataan media, kelmarin.

Justeru, kata Satiful Bahri, beliau mewakili keluarga besar Pas berharap rakan-rakan dalam PR dapat mengambil teladan daripada krisis tersebut dan menerima alternatif sebagaimana diputus dan dicadangkan Pas.

Beliau turut berharap keputusan itu dapat menyelesaikan segera kemelut politik Selangor kerana bukan sahaja orang politik, malah rakyat juga tidak mahu isu berkenaan berpanjangan sehingga menyebabkan rasa mual dan muak terhadap PR.

“Rakan-rakan dalam PR perlu ingat dan berwaspada, sesungguhnya musuh-musuh politik sentiasa mengintai peluang serta mengambil kesempatan menangguk di air yang keruh.

“Tindakan Pas mengekalkan empat wakil rakyatnya sebagai Exco Kerajaan Negeri Selangor merupakan langkah tepat agar kesinambungan pemerintahan PR terus berjalan dan pertukaran kepimpinan pada masa akan datang berlangsung dengan aman dan nyaman’,” katanya.

Satiful Bahri juga menegaskan, sebarang kepentingan politik peribadi yang melebihi kepentingan parti dan rakyat adalah musuh kepada ajaran Islam yang suci serta malapetaka kepada demokrasi, dan perlu diletakkan noktah serta tidak menjadi amalan semua ahli politik zaman kini.

Pas Terengganu juga tegas dengan pendiriannya dalam menggesa Pas Pusat mengambil tindakan tegas terhadap dua Adun Pas Selangor yang tidak sabar, tergesa-gesa dan hilang pertimbangan sehingga mendahului presiden, sekali gus membelakangi kepimpinan serta seluruh ahli Pas hingga sanggup meleburkan kepercayaan dan amanah diberikan.

“Kami mencadangkan dua Adun terlibat dipecat keahliannya agar menjadi pengajaran pada masa akan datang bahawa tarbiah Pas tidak mengajar mana-mana ahli melakukan tindakan khianat dan sabotaj. Sesungguhnya pergolakan yang berlaku memberi pengajaran besar kepada seluruh ahli parti untuk muhasabah diri serta membuat penilaian.

"Mana-mana ahli dan pemimpin yang tersasar daripada ‘akhlak berjemaah’, tidak perlu diberi amanah serta dilantik menjadi kepada ‘Harakah Islamiah’ yang besar ini. Kita mahu kepimpinan Pas dapat ditapis supaya sentiasa istiqamah, dengar dan taat dalam memikul agenda parti serta berdiri teguh bersama presiden dalam apa jua keadaan,” katanya.