• Nik Nazmi Nik Ahmad Nik Nazmi Nik Ahmad
1 / 1
SHAH ALAM - "Saya berlapang dada," demikian reaksi Nik Nazmi Nik Ahmad ketika ditanya mengenai tindakan separuh perwakilan AMK yang bertindak keluar dewan sebaik nama beliau diumumkan secara rasmi sebagai Ketua AMK, semalam.

Menurut Nik Nazmi, beliau tidak terlalu mengambil berat akan perihal tersebut kerana baginya tindakan itu boleh dianggap sebagai masalah dalam kelambu.

"Saya tiada masalah. Bagi saya ini bukanlah masalah yang terlalu besar kerana ia boleh diatasi.

"Cuma sekarang saya perlu bersikap 'cool'," katanya ketika ditemui pemberita di Kongres Nasional PKR di Stadium Melawati, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, beliau perlu diberi peluang untuk membuktikan kebolehannya.

"Berilah peluang untuk kita bekerjasama untuk kita meletakkan  agenda anak muda di tempat yang sewajarnya," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya adakah pihaknya akan mengambil tindakan terhadap mereka yang bertindak memboikot beliau semalam, beliau berkata, insiden itu telah dilupakan.

"Masalah ini akan selesai, kejap sahaja nanti ia sejuklah.

"Yang lepas biarlah lepas, kita pandang ke hadapan, iaitu untuk menjatuhkan Umno dan memperkuatkan PR," katanya lagi.

Semalam, sebuah portal berita melaporkan, separuh perwakilan AMK keluar dewan selepas Nik Nazmi yang juga Timbalan Speaker Dun Selangor diumum secara rasmi sebagai Ketua AMK sesi 2014-2018 dalam Kongres AMK ke-10.

Laporan itu dipetik, tindakan itu didakwa berpunca daripada perasaan tidak puas hati oleh penyokong Setiausaha Majlis Pimpinan PKR Selangor yang juga Adun Batu Caves, Amiruddin Shari yang tewas dalam pemilihan baru-baru ini.

Pada pemilihan lalu, Nik Nazmi yang juga Adun Seri Setia mendapat 4,509 undi menewaskan Amirudin (4,259).

Jawatan Timbalan Ketua AMK pula dimenangi Dr Afif Bahardin dan Naib Ketua AMK di sandang Raymond Ahuar, Radzlan Jalaludin Dan J Sangetha.