• Kongres PKR
1 / 1
SHAH ALAM - Akibat memaparkan aksi membakar bendera PKR dan dimuat naik dalam laman sosial Facebook, seorang pemimpin cabang parti itu telah dipecat Lembaga Displin PKR, hari ini.

Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Dr Tan Kee Kwong berkata, tindakan tegas itu diambil selepas perbuatan ahlinya itu telah menjejaskan nama baik parti dan memberi implikasi buruk kepada masyarakat.

"Ketua AMK Cabang Kuantan, Aidil Haryman Mat Nor secara terbuka melalui laman sosial Facebook memaparkan gambar beliau membakar bendera parti, yang memberi implikasi buruk kepada imej dan kredibiliti parti kepada masyarakat umum.

"Beliau turut mengakui tindakan membakar bendera parti dan mencabar agar beliau dipecat dari parti," katanya dalam satu kenyataan medianya, hari ini.

Sebelum ini, Lembaga Disiplin PKR telah meneliti dan mengadakan siasatan berkenaan beberapa kes berkaitan tatatertib dan disiplin ahli parti itu.

Kes-kes itu telahpun dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat semalam yang dipengerusikan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anggota-anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang lain.

Dalam pada itu, seramai empat ahli parti itu telah digantung keahliannya dan diberikan surat tunjuk sebab selepas mereka terlibat dalam satu gerakan mempertahankan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.

"Mereka didakwa terlibat dalam satu sidang media Pertubuhan Anak-anak Selangor Sokong Menteri Besar (Pasmeb) bersama NGO lain yang mempertahankan Abdul Khalid pada 20 Ogos lalu.

"Antaranya ahli Cabang Pasir Mas, Dr Wan Suhaimi Wan Daud; ahli Cabang Sepang, Nasiruddin Mohamad; ahli cabang Selayang, Abdul Rahim Abdul Wahab dan ahli Cabang Batu, Rosmah Suly.

"Ahli-ahli parti ini akan diberi surat tunjuk sebab dan digantung kehlian serta-merta sehingga siasatan selesai," katanya lagi.