Kajian: Anwar punca kemelut politik Selangor
SHAH ALAM - Rata-rata rakyat Selangor bersetuju krisis politik di
Selangor ketika ini adalah berpunca daripada angkara Ketua Umum Parti
Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Penganalisis Politik Prof Madya Dr Ismail Sualman berkata hasil kaji
selidik pihaknya di 20 kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor,
seramai 2,138 responden berpendapat pilihan raya kecil Dun Kajang pada
Mac lepas, yang sengaja dicetuskan PKR, adalah punca berlakunya krisis
itu.
"Melalui kaji selidik responden di beberapa kawasan Dun termasuk di
Semenyih, Damansara dan Sekinchan, sebanyak 44.5 peratus bersetuju
bahawa Anwar mewujudkan satu keadaan iaitu menukar menteri besar
Selangor melalui pilihan raya kecil Kajang atau 'Langkah Kajang'.
"Bermula dengan Langkah Kajang, beliau digambarkan mempunyai
kecenderungan untuk melebarkan kuasanya dengan meminta Tan Sri Abdul
Khalid Ibrahim meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Selangor dengan
cukup mudah," katanya kepada
pemberita selepas menghadiri forum 'Kemelut Politik Selangor: Angkara Siapa?' anjuran Majlis Perundingan Melayu di sini, hari ini.
Ismail yang juga pensyarah kanan di Fakulti Komunikasi dan Pengajian
Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, berkata selain Anwar,
responden turut menyalahkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang
berhubung kemelut politik itu.
Beliau berkata rakyat Selangor berpendapat tindakan Abdul Hadi, yang
sentiasa berdolak-dalik dalam membuat keputusan berhubung calon menteri
besar baharu, menyebabkan kemelut tersebut berpanjangan.
"Hasil kaji selidik menunjukkan sebanyak 17.9 peratus reponden mengakui
tindakan Abdul Hadi yang lemah dalam membuat keputusan menyebabkan
krisis ini berlaku, manakala 15.2 peratus bersetuju Presiden PKR Datuk
Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail patut dipersalahkan sementara selebihnya
berpendapat Rafizi Ramli (Naib Presiden PKR) sebagai punca," katanya.
Mengulas lanjut mengenai kemelut pertukaran menteri besar Selangor,
Ismail berpendapat percaturan yang dibuat PKR untuk menukar menteri
besar pada ketika ini adalah tidak tepat.
Beliau berkata sekiranya Abdul Khalid dianggap lemah oleh PKR dalam
menerajui Selangor, Abdul Khalid sepatutnya tidak dicalonkan menduduki
kerusi menteri besar Selangor selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13)
tahun lepas.
"PKR sendiri mendakwa Abdul Khalid lemah. Kalau Abdul Khalid lemah,
kenapa calonkan beliau sebagai menteri dan Adun (Anggota Dewan Undangan
Negeri) Pelabuhan Klang.
"Apa yang saya lihat, kaedah yang digunakan Anwar dan PKR untuk menukar
menteri besar pada waktu ini adalah tindakan yang tidak tepat,"
katanya. - Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment