• Muktamar
1 / 1
BATU PAHAT - Kepimpinan tertinggi Pas masih bertelagah sesama sendiri berkenaan isu Menteri Besar Selangor, yang dijangka berakhir Selasa ini dengan majlis angkat sumpah pengganti Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Setiausaha Agung Pas Datuk Mustafa Ali berkata pakatan pembangkang perlu mematuhi apa jua keputusan yang bakal diputuskan oleh pihak Istana Selangor.

"Keputusan sebelum ini telah memutuskan bahawa kerusi itu dikhususkan untuk calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai menteri besar.

"Namun, apa sahaja keputusan istana, bukan sahaja Pas malah semua pihak perlu terima," katanya kepada pemberita selepas tamat perbahasan ucapan dasar presiden pada Muktamar Tahunan Pas Ke-60 di sini, hari ini.

Pada 17 Ogos lepas, Jawatankuasa Kerja Pas Pusat bersetuju untuk mencalonkan dua pemimpin PKR sebagai menteri besar Selangor baharu menggantikan Abdul Khalid.

Bagaimanapun, selepas tarikh akhir penyerahan nama calon kepada Istana Selangor pada awal September lepas, PKR dan DAP tetap menghantar hanya satu nama iaitu Presiden PKR,  Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Pendapat Mustafa bagaimanapun disanggah Timbalan Presiden Pas Mohamad Sabu yang mengatakan parti itu tetap menolak jawatan itu sekiranya calon parti itu dipilih.

"Kalau calon Pas dipilih, kami akan tolak," katanya sambil enggan mengulas lebih lanjut berhubung perkara itu.

Sementara itu, Pesuruhjaya Pas Selangor Iskandar Abdul Samad pula berkata, "jika istana membuat keputusan untuk memilih calon Pas, kami terima." - Bernama