• Datuk Saifuddin Nasution Ismail Datuk Saifuddin Nasution Ismail
1 / 1
PETALING JAYA - PKR melahirkan kekecewaan terhadap Pas kerana tidak menghormati keputusan muafakat PR dalam mencalonkan nama Menteri Besar Selangor yang baharu bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
  
Setiausaha Agungnya, Datuk Saifuddin Nasution berkata, keputusan pemuafakatan itu sebenarnya telah dicapai antara pemimpin tertinggi PKR, Pas dan DAP dalam satu mesyuarat khas 17 Ogos lepas.

"Saya berpendapat tidak sukar untuk memahami peri pentingnya muafakat itu dijaga," katanya kepada Bernama selepas mesyuarat biro politik parti dan pertemuan 13 Adun Selangor di ibu pejabat PKR, hari ini.

Beliau mengulas laporan sebuah portal akhbar tempatan hari ini mengatakan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menghantar tiga nama terdiri daripada anggota Exco Selangor kepada pihak istana untuk dipertimbang bagi jawatan Menteri Besar Selangor.

Media itu dipetik melaporkan Adun Pas yang dicalonkan ialah Pesuruhjaya Pas Selangor, Iskandar Abdul Samad manakala dua lagi nama ialah Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan timbalannya, Mohamed Azmin Ali.
  
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah telah menitahkan ketiga-tiga parti pakatan pembangkang menghantar lebih daripada dua nama sebagai calon menteri besar bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. - Bernama