• suhaizan-kaiat
1 / 1
SHAH ALAM – Isu penubuhan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) tidak akan wujud jika kontroversi kerusi Menteri Besar Selangor diselesaikan secara baik oleh barisan pimpinan dalam Pakatan Rakyat.

Bercakap kepada Sinar Harian Online hari ini, Ketua Pemuda Pas, Suhaizan Kaiat berkata, penubuhan Pasma hanya timbul setelah wujudnya masalah berkaitan menteri besar di negeri Selangor.

“Kalau isu MB Selangor diselesaikan secara muafakat (seperti yang dianjurkan oleh Pemuda Pakatan) maka Pasma akan hilang,” katanya.

Ditanya kemungkinan Pasma dibubar sekiranya kemelut menteri besar selesai, beliau betkata ia tidak penting kerana Pasma hanya muncul selepas isu menteri besar muncul.

“Jika isu Menteri Besar Selangor diselesai dengan baik, maka tidak ada lagi Pasma selepas ini,” jawabnya.

Penubuhan Pasma sebagai NGO menjadi tumpuan media berikutan krisis Selangor yang memperlihatkan keretakan ketara dalam Pas.

Pasma kini yang dinaungi pemimpin Pas, Phahrolrazi Mohd Zawawi menyatakan bahawa Pasma adalah sebuah pertubuhan yang memberi fokus kepada isu politik tanah air dan cenderung kepada pengukuhan pakatan pembangkang.

Dalam pada itu Suhaizan enggan mengulas berhubung penubuhan Pasma yang didakwa bertujuan memecahbelahkan Pas.

“Tujuannya (penubuhan Pasma) saya tidak tahu. Tapi (yang pasti) ia muncul selepas wujud isu MB Selangor,” tegasnya.