• Nik Nazmi Nik Nazmi
1 / 1
SHAH ALAM - AMK menggesa Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menarik balik kenyataan yang mendakwa Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak berkebolehan menjadi Menteri Besar Selangor.

Ketuanya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, Abdul Hadi turut digesa menghormati keputusan pimpinan Pas Pusat dan Majlis Pimpinan PR.

"Kenyataan itu amat tidak kena dalam semangat setiakawan PR apatah lagi dikeluarkan daripada presiden sebuah parti komponen kepada presiden parti komponen yang lain," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Hadi jelas mengapa tolak Azizah]

Kelmarin, ketika berucap pada majlis dialog di Rusila, Terengganu, Abdul Hadi dilaporkan berkata, keengganan Pas menuruti kehendak PKR dan DAP mencalonkan Wan Azizah kerana Presiden PKR itu tidak layak memikul tugas sebagai menteri besar.

Abdul Hadi turut menegaskan, penolakan Pas terhadap Wan Azizah bukan disebabkan faktor gender tetapi kredibiliti yang ada pada beliau.

Sementara itu, Nik Nazmi turut menyatakan kekesalan terhadap kenyataan yang dibuat Abdul Hadi.

Katanya lagi, kenyataan yang dibuat itu sangat tidak wajar setelah Pas bermesyuarat secara berasingan dan kemudian bersama dalam mesyuarat Majlis Pimpinan PR dimana nama Wan Azizah dikemukakan dalam kedua-dua proses ini.

"AMK percaya mana-mana pemimpin tidak terlepas daripada kemungkinan kelemahan dan ini seharusnya menjadikan mereka lebih demokratik dan tidak meminggirkan kepentingan untuk sama-sama berganding bahu dalam membuat keputusan.

"Wan Azizah telah memimpin PKR sejak 1999 dan pernah diangkat sebagai Ketua Pembangkang pada tahun 2008 yang turut diiktiraf Presiden Pas.

Beliau menambah, Wan Azizah telah mencipta sejarah dengan membina gagasan parti politik pelbagai kaum paling berjaya dalam sejarah negara yang telah memberi peluang kepada begitu ramai wanita turut serta sebagai pemimpin di pelbagai peringkat.