• PRK Pengkalan Kubor
1 / 1
TUMPAT - Pemimpin-pemimpin parti politik digesa membina satu landskap pemikiran politik baharu yang berteraskan akhlak bermula dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Pengkalan Kubor.

Semasa membuat gesaan itu, Pengerusi Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata semua parti politik yang bertanding dalam PRK itu harus menghentikan sebarang bentuk serangan peribadi dan fitnah dalam kempen mereka.

"Kita perlu membina landskap baharu dalam dunia politik hari ini bermula di Pengkalan Kubor", katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perasmian Khatam Al-quran Peringkat PPD Tumpat di sini, hari ini.

Sebelum ini, Pengarah Jentera Pilihan Raya Pas Dun Pengkalan Kubor Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata Pas akan memastikan suasana kempen PRK itu berlangsung secara harmoni tanpa berlaku unsur-unsur provokasi.

Namun penceramah-penceramah Pas membangkitkan isu-isu peribadi dan melemparkan pelbagai fitnah terhadap calon Barisan Nasional (BN) Mat Razi Mat Ail termasuk mendakwa beliau mempunyai kekasih dan tidak layak digelar ustaz.

Asyraf Wajdi berkata tindakan PAS itu menunjukkan mereka semakin ketandusan idea sehingga sanggup membangkitkan isu ketokohan agama sebagai modal untuk berkempen.
   
"Mempersoalkan keperibadian ustaz Mat Razi dari segi gelaran ustaz ini tidak perlu dan tidak patut dilakukan oleh parti yang berlabelkan Islam", katanya.

PRK pada 25 Sept itu menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mat Razi, calon Pas Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary.

Ia diadakan berikutan kematian penyandangnya Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar, 57, daripada BN akibat kanser hati pada 20 Ogos lepas.   

Pada pilihan raya umum ke-13  lepas, Allahyarham Noor Zahidi mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan Izat Bukhary (Bebas) dengan majoriti 1,736 undi. - Bernama