• Husam Musa Husam Musa
1 / 1
BATU PAHAT - Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa menafikan viral jawatankuasa bayangan yang tersebar mendakwa beliau sebagai Presiden Parti Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma).

Menurutnya, dakwaan itu tidak wajar dilemparkan terhadapnya memandangkan beliau telah pun menyandang antara jawatan tertinggi dalam partinya.

"Husam menjadi Presiden Pasma. Betul ke macam itu? Pasma ini saya kira pasar malam. Pas ini pasaraya.

"Jadi, saya duduk dalam Pas, Naib Presiden Pas... tiba-tiba nak jual di pasar malam, jadi Presiden pasar malam. Tak kan lah macam itu. Gunalah fikiran sedikit. Tapis sedikit," katanya ketika berucap di sini, malam tadi.

Tegasnya, sebarang maklumat yang sampai kepada kita perlu ditapis terlebih dahulu sebelum diterima.

"Kalau terima sesuatu benda itu, kena tapis dulu. Tak boleh telan.

"Banyak lagi perkara lain yang dituduh pada pimpinan-pimpinan kita, yang dilaga-lagakan satu sama lain," katanya.

Sebelum ini, tersebar senarai jawatankuasa bayangan Pasma yang mengaitkan nama Husam sebagai ketua dalam pertubuhan itu.