• Parti PAS Parti PAS
1 / 1
SHAH ALAM -  Badan Perhubungan Pas Terengganu hari ini melarang keras mana-mana ahli Pas Terengganu daripada melibatkan diri dengan Persatuan Umah Sejahtera Malaysia (Pasma).

Setiausaha Badan Perhubungan Pas Negeri Terengganu, Muhyidin Abdul Rashid berkata, pencegahan tersebut dikuatkuasakan dengan serta-merta dan ditujukan kepada seluruh badan organisasi Pas Terengganu.

"Larangan ini termasuklah menjadi ahli Pasma, menubuhkan Pasma, dan menghadiri apa-apa program anjuran Pasma.

"Ahli Pas juga dilarang sama sekali untuk memberi  kerjasama kepada program anjuran Pasma dalam apa jua bentuk sekalipun," tambah Muhyidin melalui kenyataan pada hari ini.

Sebuah portal tempatan pada tarikh 7 September melaporkan, Naib Presiden Pas Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man tidak membenarkan anggota Pas untuk menyertai Pasma sekiranya ia merupakan sebuah pertubuhan parti politik.

Beliau berkata, Pas tidak menggalakkan sekiranya ahlinya untuk menyertai pertubuhan itu jika ia sebuah pertubuhan kebajikan kerana dalam parti Islam itu sendiri sudah mempunyai lajnah kebajikan.

"Kita teliti NGO tersebut dan setakat ini kita tahu pendaftaran adalah bagi tujuan kebajikan bukan parti politik.

"Tapi tidak ada keperluan ahli Pas untuk sertai Pasma kerana kita sendiri pun ada lajnah kebajikan sendiri," katanya.

Sementara itu,  Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika mengulas mengenai sama ada penubuhan Pasma akan menjurus kepada penubuhan sebuah parti politik atau tidak, beliau berkata, itu terserah kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS).

"Ini amalan negara demokrasi, terpulang kepada Pendaftaran Pertubuhan sama ada nak terima atau tidak. Itu biasalah dalam negara demokrasi ini, ada parti-parti politik," ujarnya ketika ditemui pemberita baru-baru ini.