•  Mahfuz Omar Mahfuz Omar
1 / 1
KUALA LUMPUR - "Tiada siapa hendak jatuhkan Presiden Pas," demikian tegas Ketua Penerangan Pas Datuk Mahfuz Omar mengenai desas-desus yang mengatakan terdapat gerakan dalam Pas untuk menjatuhkan presiden.

Beliau berkata, semua ahli sepakat ketika memilih Abdul Hadi dan ahli Pas sama sekali tidak akan mengkhianati pemimpin yang dipilih mereka.

"Tidak pernah wujud gerakan. Ini mungkin kami meraikan perbezaan pendapat, kerana itu ada yang berfikir seolah-olah wujud gerakan seperti ini.

"Kami menghormati Presiden Pas dan saya beranggapan paparan media sahaja yang menggambarkan perkara itu wujud, sedangkan tidak," katanya kepada media, di Ibu Pejabat Pas Pusat di Jalan Raja Laut, hari ini.

Beliau berkata, pada ketika ini Pas saling mencari persamaan khususnya dalam isu Menteri Besar Selangor.

"Isu ini membuatkan Pas seperti tidak sependapat.

"Ia juga membuatkan kami terpaksa menanggung beban sedangkan ia bukan berpunca dari Pas sendiri," katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai pendirian Pas jika Sultan Selangor, Sultan Sharaffuddin Idris Shah perkenan untuk calon Pas menjadi menteri besar, Mahfuz berkata, Pas tidak akan menerimanya.

"Pendirian Pas sangat jelas, kita hanya akan terima menteri besar dari calon PKR sahaja.

"Bukan mahu mengingkari titah Sultan, tapi itulah pendirian Pas berhubung isu ini," katanya.