• Tan Sri Musa Hassan Tan Sri Musa Hassan
1 / 1
SHAH ALAM - Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menyifatkan, tindakannya mencadangkan hukuman mati dikenakan kepada pesalah Akta Hasutan 1948 hanyalah satu cadangan biasa.

Katanya, sebagai sebuah negara yang mempunyai kebebasan hak bersuara, tidak salah sekiranya beliau mengeluarkan pendapat dalam usaha memperkasakan lagi akta tersebut.

“Saya rasa individu yang mendesak agar akta ini dihapuskan juga tidak masuk akal kerana akta sebegini memastikan keamanan negara terjaga.

“Jadi tak salah kalau saya cadangkan perkara ini demi keharmonian negara. Lulus ke tak itu bergantung Parlimen, bukannya saya,” katanya ketika menyampaikan ceramah dalam seminar Memperkasakan dan Memartabatkan Institusi Beraja di Dewan Bahasa di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, semalam.

Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyindir dan meminta Musa mencuba dahulu hukuman gantung.

Musa memberitahu cadangan itu sebagai satu cara untuk menyokong sebahagian rakyat yang mahukan akta ini dikekalkan, selain menuruti langkah kerajaan Singapura yang masih menghidupkan ISA dan Akta Hasutan.

Dalam pada itu, beliau menyuarakan kebimbangan sekiranya akta ini dihapuskan ia boleh menjejaskan keamanan dan keharmonian masyarakat di negara ini.

“Kita perlu tahu sejarah dan akta ini ditubuhkan demi kesejahteraan negara ini, sebab itu termaktub dalam perlembagaan.

“Inilah undang-undang untuk melindungi masyarakat dan juga sistem beraja di negara ini,” katanya.

Bagaimanapun, Musa berharap agar akta tersebut diperkasa segera memandangkan terdapat unsur penghinaan membabitkan raja-raja Melayu dan juga negara kian berleluasa.

“Jika undang-undang sedia ada tak cukup, tak salah rasanya kalau meminda atau menambah baik akta itu demi kepentingan negara,” katanya.

Tambahnya, Akta Hasutan telah dipinda sebanyak lima kali tetapi masih mempunyai ruang untuk ditambah baik atau diperkukuhkan sekiranya perlu disesuaikan mengikut trend semasa.

Namun katanya, untuk memansuhkannya, tidak sepatutnya dipertimbangkan kerana seolah-olah memperjudikan keselamatan negara.

“Akta ini walaupun wujud sejak tahun 1948, tetapi telah dipinda mengikut keadaan. Kalau dilihat, trend sekarang berlainan. Boleh pinda lagi atau diperkukuhkan, tidak perlu diganti.

“Masih ada ruang untuk diperbaiki kerana Perlembagaan juga menyokong setiap rakyat dan pemimpin negara bebas bersuara, tetapi kebebasan tadi perlu tertakluk kepada undang-undang kerana seperti saya selalu katakan, tiada kebebasan mutlak,” katanya.