• Mahfuz (kiri) berbincang dengan Ketua Penerangan Pemuda Pas Kedah, Ahmad Tarmizi Sulaiman (tengah), selepas selesai konvensyen. Mahfuz (kiri) berbincang dengan Ketua Penerangan Pemuda Pas Kedah, Ahmad Tarmizi Sulaiman (tengah), selepas selesai konvensyen.
1 / 1
ALOR SETAR - Tidak wujud dakwaan kononnya PKR cuba memujuk Pas apabila menyerahkan kerusi Dun Pengkalan Kubor kepada parti itu, dengan syarat tidak mengganggu urusan calon Menteri Besar Selangor.

Ketua Penerangan Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, apa sahaja yang diputuskan di peringkat kepimpinan PR adalah atas kebaikan semua pihak.

“Kami terima keputusan yang dibuat kerana percaya ia adalah demi kebaikan semua pihak dalam PR. Mengenai dakwaan ada usaha memujuk itu, saya tak pasti,” katanya, selepas Konvensyen Pas Kedah 2014, di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut, semalam.

Menurutnya, ketika keputusan itu dibuat pucuk pimpinan parti, beliau berada di luar negara dan tidak wajar untuk mengulas lanjut.

Mengulas mengenai peluang calon Pas yang bertanding di Pengkalan Kubor, berbanding calon PKR sebelum ini yang tewas dua kali pada pilihan raya lalu, Mahfuz berkata, usaha perlu dipertingkatkan tanpa mengira siapa calon mewakili kerusi itu.

“Bukan mudah nak menang, sama ada Pas atau PKR yang jadi calon. Semua pihak kena usaha sebaik mungkin untuk kita wujudkan peluang bagi mencapai kemenangan. Pas Kedah juga akan hantar pasukan untuk membantu gerak kerja parti di sana,” katanya.

PRK kerusi Dun Pengkalan Kubor menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN, Mat Razi Mat Ail, calon Pas Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary.