• mahkamah
1 / 1
PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan hari ini mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan petisyen bekas pegawai penyiasat dalam kes liwat kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk diterima masuk sebagai peguam bela dan peguam cara.
 
Panel tiga hakim diketuai Datuk Linton Albert membuat keputusan sebulat suara untuk membenarkan rayuan Judy Blacious a/l A F Pereira (lebih dikenali sebagai Jude Blacious Pereira).
 
Dalam penghakimannya, Albert berkata Hakim Mahkamah Tinggi membuat keputusan berdasarkan notis bantahan serta notis kaveat berhubung penerimaan masuk Jude yang difailkan Majlis Peguam, dan bukan petisyen bekas pegawai penyiasat berkenaan.
 
Beliau berkata, mahkamah mendapati Jude belum memfailkan petisyen mengikut Seksyen 15(1) Akta Profesion Undang-Undang 1976, oleh itu, Mahkamah Tinggi belum mendengar petisyen berkenaan.
 
"Oleh itu, kami membenarkan rayuan dan memerintahkan Mahkamah Tinggi mendengar petisyen berkenaan," katanya yang menetapkan 18 Sept sebagai tarikh sebutan kes itu di Mahkamah Tinggi.
 
Peguam Dominic Selvam, yang mewakili Jude, memaklumkan anak guamnya akan memfailkan petisyen itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum tarikh sebutan.
 
Turut menganggotai panel ialah Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Rohana Yusuf dan Hakim Mahkamah Tinggi Vernon Ong Lam Kiat.
 
Pada 15 Januari lepas, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Zaleha Yusof membenarkan notis bantahan dan notis kaveat Majlis Peguam bagi menghalang kemasukan Jude sebagai pengamal undang-undang.
 
Majlis Peguam mengemukakan bantahan berdasarkan hasil inkuiri Suruhanjya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dalam kes membabitkan penahanan lima peguam semasa perhimpunan nyalaan lilin, yang memutuskan bahawa Jude bukan saksi berwibawa.
 
Terdahulu, Selvam berhujah anak guamnya hanya memfailkan dokumen untuk kehadiran dalam kamar selepas menamatkan latihan selama tiga bulan pada Oktober 2012.
 
Beliau berkata, Jude belum memfailkan petisyen untuk diterima masuk ke Badan Peguam kerana masih perlu menamatkan latihan selama sembilan bulan mengikut Akta Profesion Undang-Undang.
 
Selvam berkata oleh itu, Majlis Peguam memfailkan notis bantahan dan notis kaveat sebelum Jude menyerahkan petisyennya untuk diterima masuk dan Mahkamah Tinggi juga membuat keputusan pramatang berikutan tiada petisyen difailkan lagi.
 
Beliau juga berkata, Hakim Besar Malaya, dan bukan Hakim Mahkamah Tinggi, yang akan memutuskan sama ada Jude layak diterima masuk sebagai seorang peguam.
 
Peguam Malik Imtiaz Sarwar pula berkata Mahkamah Tinggi membuat keputusan selepas merujuk satu petisyen yang difailkan Jude dan hakim berkenaan juga tidak melakukan kesilapan yang membolehkan Mahkamah Rayuan campur tangan.
 
Pada 7 Mac lepas, Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan Anwar daripada pertuduhan meliwat bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan.
 
Mahkamah Rayuan mendapati Anwar bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun.
 
Rayuan terakhir Anwar akan didengar Mahkamah Persekutuan pada 28 Oktober ini. - Bernama