•  Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din
1 / 1
BANGI - Majlis Syura Ulama Pas tidak mempunyai halangan menyokong Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk menggalas jawatan Menteri Besar Selangor jika beliau mempunyai kelayakan dan berpengalaman yang cukup bagi memikul amanah itu.

Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din bagaimanapun berkata, Presiden PKR itu tidak memiliki kriteria tersebut sekaligus beliau tidak layak bagi jawatan penting itu di Selangor.

"Itulah penilaian atau pandangan, kalau dia cukup kelayakan, sudah tentulah Majlis Syura Ulama Pas dari awal menyokongnya, dengan tiada sebarang masalah.

"Memang kita hendakkan yang lebih mampu dan lebih baik," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Forum Perdana bertajuk: Kebangkitan Islam, Di Manakah Peranan Kita? di sini, malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Jumaat yang mengkritik prestasi Wan Azizah di Parlimen dan Dun Selangor kerana beliau gagal menjawab soalan dan tidak berupaya berdebat dengan wakil rakyat BN.

Dalam pada itu, katanya lagi, Majlis Syura Ulama Pas juga membuat penilaian itu tanpa cenderung kepada faktor gender.

"Dalam Islam juga bukan jantina menjadi halangan, tetapi kemampuan untuk memikul amanah.

"Jadi Islam lihat pada amanah...amanah ini secara fizikalnya lebih mampu, pengalaman lebih dan latar belakangnya.

"Maka apa yang telah diputuskan oleh Majlis Syura dan dipikul oleh sebahagian besar daripada pimpinan parti melihatkan ada orang lain yang lebih baik daripada Wan Azizah," ujarnya.

Beliau berkata disebabkan faktor itulah sehingga sekarang Abdul Hadi menyerahkan isu pemilihan Menteri Besar itu kepada Sultan Selangor untuk dimuktamadkan.

"Jika sultan masih melihat Wan Azizah boleh dan sesuai menteri besar, saya rasa tuanku akan lantik beliau.

"Kalau tuanku pun tidak nampak demikian (kelayakan), tuanku akan memilih orang lain," katanya lagi.