• Mustafa Ali Mustafa Ali
1 / 1
SHAH ALAM - Pas menerusi kenyataan Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali hari ini menafikan laporan media massa yang mengatakan parti itu menghantar tiga nama Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) mereka di Selangor sebagai calon menteri besar yang baharu.

Mustafa berkata, laporan itu sememangnya tidak benar, dan ianya sama sekali bercanggah dengan kenyataan Pas sebelum ini.

“Laporan itu tidak betul,” katanya ringkas kepada Sinar Harian Online hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas laporan media hari ini yang menyebut bahawa satu surat daripada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah dihantar sebelum tarikh 3 September bagi mengemukakan lebih daripada dua nama calon jawatan menteri besar berikutan pemecatan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim daripada PKR.

Memetik laporan itu lagi, sumber itu berkata, Hadi secara peribadi telah menandatangani surat untuk istana, menamakan tiga ahli exco parti itu dalam pentadbiran negeri sebagai calon.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin Idris Shah memberikan masa sehingga semalam (3 September) kepada ketiga-tiga parti dalam PR (Pas, PKR dan DAP) menghantar sekurang-kurangnya dua nama kepada baginda untuk dipertimbangkan sebagai MB Selangor yang baharu.

Sementara itu, menurut laporan lidah rasmi Pas Harakahdaily hari ini melaporkan bahawa  Pas telah menghantar tiga nama, namun dua calon tersebut adalah daripada PKR dan seorang daripada partinya sendiri sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baharu,

Menurut portal itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali mengesahkan perkara itu tetapi tidak menyebut nama ketiga-tiga Adun berkenaan.

"Buat masa ini nama tu biarlah dulu," katanya kepada Harakahdaily.