• Abdul Khalid Ibrahim. - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM Abdul Khalid Ibrahim. - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
1 / 1
SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi hari ini menolak saman yang dikemukakan oleh Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) terhadap Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan bekas Exco Kerajaan Negeri, Yaakob Sapari kerana didakwa memfitnah yayasan itu dalam sidang media, empat tahun lalu.

Hakim, Datuk Yaacob Md Sam mengarahkan YBK, Permodalan YBK Sdn Bhd dan Pengerusi YBK Datuk Zainal Abidin Sakom selaku plaintif pertama, kedua dan ketiga secara bersama membayar RM30,000 dan RM10,000 masing-masing kepada Khalid serta Yaacob sebagai kos.

Dalam penghakimannya setebal 99 muka surat, Yaacob berkata, sebagai Ketua Eksekutif Negeri, Menteri Besar Selangor mempunyai tanggungjawab dari segi undang-undang bagi untuk melihat YBK atau PYBK diurus dengan telus.

“Mahkamah mendapati kenyataan defendan pertama, Abdul Khalid dan Yaacob sebagai defendan kedua adalah merupakan komen yang berpatutan berasaskan maklumat serta dokumen rasmi kerajaan,”katanya.

Menurutnya, hujahan plaintif bahawa kerajaan negeri tidak berhak mencampuri urusan YBK atas alasan ia adalah badan amanah dan PYBK sebagai entity syarikat yang tiada sebarang hubungan adalah ditolak oleh mahkamah.

“Bagi melihat YBK atau PYBK diurus tadbir dengan telus,  kerajaan negeri atau Menteri Besar perlu mendapat pelaporan secara konsisten daripada plaintif pertama dan kedua berhubung program serta aktiviti yang berkaitan dengan pembasmian kemiskinan,”katanya.

Mengenai tuntutan balas oleh Abdul Khalid, mahkamah mendapati defendan pertama gagal membuktikan di atas beban imbangan kebarangkalian terhadap tuntutan balas defendan pertama tersebut.

“Tuntutan balas defendan pertama dengan itu ditolak dengan kos RM5,000 dibayar oleh defendan pertama kepada plaintif-plaintif dan jumlah ini boleh dibuat potongan oleh plaintif dari jumlah kos yang perlu dibayar kepada Abdul Khalid," katanya.