• Najib Tun Razak menyampaikan ucapan perasmian Perhimpunan Agung Keenam Parti Makkal Sakti Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Bernama Najib Tun Razak menyampaikan ucapan perasmian Perhimpunan Agung Keenam Parti Makkal Sakti Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Bernama

1 / 1


KUALA LUMPUR - Pembangkang gagal mencapai dan meniru persefahaman politik serta ikatan kekeluargaan yang terjalin dalam BN sejak sekian lama, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
  
"Pembangkang cuba tiru BN tapi sehari dua ini kita lihat di Selangor terutama sekali, berkecai persefahaman politik yang mereka cuba (buat) di antara tiga parti.
  
"Kita ada 13 (parti komponen BN) selain rakan-rakan BN tetapi kita lebih berjaya sebagai satu ikatan kerana kita ikhlas untuk capai cita-cita bersama dan percaya kepada perkongsian kuasa," katanya.

Najib, yang juga Pengerusi BN, berkata demikian ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Keenam Parti Makkal Sakti Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra  di sini, hari ini.
  
Turut hadir Presiden Parti Makkal Sakti Malaysia, Datuk R.S. Thanenthiran, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan pemimpin parti komponen lain BN.

Najib menarik perhatian bahawa selaku Pengerusi BN, beliau perlu berlaku adil kepada 'anak-anak' di dalam gabungan itu dan memberi pertimbangan kepada semua pihak dalam membuat sebarang keputusan.
  
Beliau berkata, BN perlu tampil bersifat inklusif dalam politik kerana ia sebuah parti yang memimpin sebuah negara terdiri daripada pelbagai kumpulan etnik, kepercayaan dan budaya.

"Kita perlu kepada sokongan segenap lapisan masyarakat yang ada di negara kita. Pada kesudahannya, seperti yang sedia maklum, politik hanyalah tentang angka. Mana-mana pihak yang dapat ramai majoriti, akan dapat tubuhkan kerajaan dan  berkuasa.
  
"(Kerana itu) struktur BN beri kelonggaran, walaupun ingin menjadi anggota BN, kita perlu kepada sokongan semua parti komponen (dalam BN). Tetapi kita tidak menghalang malah galakkan kumpulan yang ingin membentuk parti politik masing-masing (untuk sokong BN)," katanya.
  
Dengan cara itu, keluarga BN dapat dikembangkan, kata Najib.  

Najib menjelaskan walaupun ada sedikit cabaran dalam membentuk struktur itu, apa yang penting ialah kalangan parti komponen memberi sokongan kepada calon BN.
  
Perdana Menteri berkata, walaupun pembangkang menabur fitnah melalui media sosial dan ceramah politik mengenai BN, apa yang dilakukan itu tidak menjadikan mereka lebih baik daripada BN.
  
Sebaliknya, kata beliau BN menjadi alternatif dan lebih diyakini berbanding pembangkang dan ini dapat disaksikan daripada sokongan mereka terhadap pelbagai program transformasi dan ekonomi kerajaan.
  
"Walaupun ada pilihan (memilih kerajaan), tetapi berhati-hatilah kerana barang tiruan tidak lebih baik daripada barang asli dan tulen. Tulen lebih baik daripada tiruan...sebab itu kita mesti sokong BN," katanya.
  
Beliau turut menekankan bahawa kestabilan politik dan keyakinan rakyat adalah kunci utama bagi Malaysia melangkah ke arah mencapai status negara maju.
  
Kestabilan politik akan menjamin keyakinan berterusan dalam kalangan dunia luar termasuk pelabur dan pemain industri kewangan dan rakyat sendiri terhadap negara.

"Sebab itu selaku Pengerusi BN, saya ajukan bahawa kestabilan politik adalah sesuatu yang pokok dan fundamental untuk kita melihat masa depan lebih cerah," kata beliau. - Bernam
a