• Phahrolrazi ketika sesi penerangan Pasma. Phahrolrazi ketika sesi penerangan Pasma.
1 / 1
ALOR SETAR - Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) sudah diiktiraf sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) politik apabila Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man tidak melarang ahli parti menyertainya.

Presidennya, Datuk Phahrolrazi Zawawi berkata, kenyataan Tuan Ibrahim itu memberi kelegaan kepadanya kerana sebelum ini timbul dakwaan ahli Pas dilarang menyertai Pasma.

“Selepas kenyataan itu dibuat, saya mula mendapat maklum balas positif daripada penyokong PR, terutama ahli Pas.

"Saya percaya sekarang objektif penubuhan Pasma sudah difahami ramai pihak,” katanya selepas majlis Dialog Bersama Pasma: Pas Keluar Pakatan, Mimpi Jadi Realiti? hari ini.

Selain Phahrolrazi, ahli panel ialah bekas Adun Santan, Perlis, Zokharnain Abidin.

Pada 8 September lalu, Tuan Ibrahim dilaporkan menyebut bahawa ahli Pas tidak dilarang menyertai mana-mana NGO kerana dalam parti itu pun terdapat pelbagai NGO. Larangan hanya berkuat kuasa apabila NGO itu bertukar menjadi sebuah parti politik.

Phahrolrazi berkata, kenyataan itu menunjukkan secara tidak langsung Pas merestui penubuhan Pasma.

Ditanya sama ada Pas melarang ahlinya aktif dalam NGO terutama yang bermotifkan politik, Phahrolrazi berkata, tidak wujud dalam perlembagaan parti mengenainya asalkan perjuangan NGO yang disertai tidak bertentangan dengan dasar Pas dan PR.