• Lim Guan Eng Lim Guan Eng
1 / 1
GEORGETOWN - Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng enggan memberi komen berhubung khabar angin menyatakan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali akan dilantik menteri besar Selangor yang baharu menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

"Kita belum dapat laporan rasmi. Kalau ada laporan rasmi baru saya akan buat komen. Selagi tidak ada laporan dan pengumuman rasmi daripada istana, saya tidak mahu buat komen.

"Dan kalau nak buat apa-apa komen, tunggu kita adakan mesyuarat tergempar Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) malam ini, lepas itu akan buat pengumuman rasmi," kata Setiausaha Agung DAP itu kepada pemberita di sini, hari ini.

Satu laporan berita menyatakan Mohamad Azmin yang merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa akan dilantik bagi menggantikan Abdul Khalid dan pengumuman dijangka dibuat oleh Istana Selangor hari ini.

Berhubung dakwaan soalan peperiksaan bagi subjek Bahasa Tamil dan Matematik Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bocor, Lim berkata, kebocoran itu adalah merupakan kelemahan dalam sistem kawalan dalaman.

Katanya kelemahan itu berterusan berikutan tiada tindakan serius diambil.

Semalam, Lembaga Peperiksaan Malaysia membuat dua laporan polis berhubung dakwaan soalan peperiksaan bagi subjek Bahasa Tamil dan Matematik bocor selepas kes kebocoran soalan kertas Bahasa Inggeris dan Sains UPSR. - Bernama