•  Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din
1 / 2
KULAI JAYA - Majlis Syura Ulama Pas mendapat pujian apabila 'tidak melatah' dan tidak membuat serangan balas selepas keputusannya menolak Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor dikecam pelbagai pihak.

Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din berkata, serangan tersebut ditangani dengan berlapang dada dan menyifatkannya sebagai nasihat ikhlas untuk munasabah diri dan pimpinan Dewan Ulama Pas.

"Sehingga hari ini, kita lihat ulama tidak melatah dan tidak buat serangan balas kerana itu bukan cara ulama.

"...mereka diserang bertubi-tubi secara terbuka, terdedah, media maya paling banyak digunakan untuk menyerang dan mempertikaikan keputusan Majlis Syura Pas itu," katanya pada perasmian Muktamar Dewan Ulama Pas, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Haron juga mengingatkan penyokong Pas supaya tidak menyusahkan perjuangan Pas hanya kerana tidak faham sesuatu keputusan parti.

"Mungkin ada agenda tidak baik, ada agenda merubah, mungkin hendak membuang kepimpinan sedia ada, namun ia mestilah mendapat keredaan ALLAH,

"Penting untuk adanya golongan penyokong dalam Pas, kalau tidak faham perjuangan atau susahkan perjuangan, ini semua akan melambatkan pertolongan ALLAH," katanya lagi.