• Phahrolrazi Zawawi Phahrolrazi Zawawi
1 / 1
ALOR SETAR - Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) didaftarkan sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan bukan parti politik.

Presidennya, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi menyifatkan arahan Majlis Syura Ulama untuk tidak membenarkan ahli Pas menyertainya sebagai tidak relevan.

“Keputusan Majlis Syura Ulama tidak boleh diterima pakai kerana sebarang arahan hanya boleh diberikan oleh Jawatankuasa Pas Pusat.

“Mereka hanya berperanan untuk memberi pandangan supaya Pas tidak lari dari perjuangan asal.

"Tidak wujud isu jemaah dalam jemaah dan parti dalam parti seperti yang didakwa sesetengah pihak,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Beliau berkata, penubuhan Pasma hanya menyasarkan penyokong PR yang tidak mempunyai ruang untuk melontarkan idea dan pandangan.

“Memang kita ada menjemput ahli Pas dalam majlis yang diadakan sebagai cara untuk berinteraksi bersama penyokong PR.

“Kalau Pas tidak mahu berjumpa dengan penyokong, mereka sendiri yang akan rugi,” katanya.

Phahrolrazi berkata, Pasma tidak rugi kerana masih mendapat sokongan penyokong PKR dan DAP.

Mengulas mengenai gesaan pelbagai pihak yang mahu Pasma dibubarkan, beliau berkata, perkara itu tidak perlu.

“Pasma tidak boleh dibubarkan kerana kita berdaftar dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Kadang-kadang, sikap pemikiran tertutup ini sebenarnya akan menyebabkan Pas sendiri yang rugi,” katanya.