• Sebahagian penyokong Mohd Saiful Bukhari Azlan di perkarangan Istana Kehakiman. - Foto Sinar Harian oleh ROSLI TALIB Sebahagian penyokong Mohd Saiful Bukhari Azlan di perkarangan Istana Kehakiman. - Foto Sinar Harian oleh ROSLI TALIB
1 / 1
PUTRAJAYA - Ketua Pendakwa raya kes Liwat II, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah tidak menolak akan membawa kes menghina ke mahkamah oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas prosiding rayuan itu selesai.

Walaupun beliau sudah mengemukakan aduan mengenainya kepada hakim Mahkamah Persekutuan, namun setelah berbincang dengan Peguam Negara, perkara itu ditangguhkan seketika supaya tidak mengganggu prosiding itu.

"Saya cadangkan supaya kita tidak campur aduk dan ganggu prosiding ini kerana ia berjalan dengan lancar.

"Menjadi tugas peguam negara dan juga jabatan peguam negara untuk membangkitkan perkara-perkara ini supaya mahkamah dapat kita lindungi daripada angkara-angkara sedemikian.

"Kita akan fikirkan balik selepas prosiding ini (kes Liwat) selesai," katanya kepada pemberita selepas prosiding kes Liwat II berhenti berehat di luar kamar Mahkamah Persekutuan Putrajaya, di sini hari ini.

Dalam pada itu, katanya pihak hakim juga bersetuju dengan cadangan Muhammad Shafee itu.

"Dia (hakim) juga setuju dengan cadangan saya iaitu kita jalankan rayuan ini, kita tidak usah campur aduk, tetapi mereka ambil maklum aduan saya buat.

"Bila dia serang mahkamah, dia kata saya tidak akan bersara, tetapi dia kata mungkin kalau saya bersara, mahkamah akan buang kes ini.

"Ini seolah-olah dia menyarankan bahawa mahkamah dengan kerajaan dan pendakwaan bersekongkol iaitu mahkamah tidak adil, mahkamah tiada integriti dan sebagainya," katanya lagi.