1 / 1
SHAH ALAM – Mufti Selangor,  Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) disaran mengadakan pertemuan dengan badan bukan kerajaan (NGO) Sisters In Islam (SIS) ekoran kontroversi yang melanda sejak kebelakangan ini.

Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali berkata, pertemuan itu perlu bagi mengelakkan kekeliruan dan salah faham antara ketiga-ketiga pihak tersebut.

“Selepas membaca kenyataan SIS di media, saya telah menghubungi Mufti Selangor untuk mendapat penjelasan. Isu ini kemudiannya dibincangkan di Mesyuarat Dewan Diraja Selangor yang kebetulan berlangsung pada Isnin lalu untuk mendapatkan penjelasan langsung dari Mufti Selangor dan Pengerusi Mais.

“Daripada penjelasan yang diberikan, saya telah mencadangkan, dengan perkenan Tuanku Sultan, supaya Mufti Selangor dan Mais membuat pertemuan dengan SIS untuk mengelak kekeliruan dan salah faham,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 31 Oktober lalu, SIS telah memfailkan semakan kehakiman ‎terhadap fatwa Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan itu sebagai fahaman sesat.

SIS menamakan tiga responden, Jawatankuasa Fatwa‎ Negeri Selangor, Mais dan kerajaan Selangor.

SIS dalam permohonannya mahu ‎membatalkan pengisytiharan fatwa itu, sebaliknya mahu diiktiraf sebagai badan yang dijamin mengikut Akta Syarikat 1965 dan tidak terikat dengan fatwa itu.

Fatwa Selangor pada Julai 2014 menggazetkan SIS dan mana-mana individu, pertubuhan atau institusi yang berpegang kepada fahaman "liberalisme" dan "pluralisme" agama sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

[ARTIKEL BERKAITAN: Pas kritik Sis cabar Majlis Fatwa]

Dalam pada itu, Mohamed Azmin turut berharap agar pertemuan itu akan membantu membawa suasana harmoni seperti mana yang dianjurkan oleh Islam.

“Saya benar-benar berharap dengan konsultasi dan pertemuan yang dijalankan tanpa prasangka, akan membantu untuk membawa suasana harmoni sepertimana yang dianjurkan oleh Islam.

“Perlu diingatkan bahawa saya bukanlah Ahli Jawatankuasa Fatwa Selangor dan Pejabat Menteri Besar tidak berkuasa ke atas hal-hal berkaitan fatwa,” katanya.