• Ahmad Fadhli Ahmad Fadhli
1 / 1
KOTA BHARU - Tidak perlu desak Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk melepaskan jawatan, demikian ditegaskan oleh  Ketua Pemuda Pas Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari.

Sebaliknya beliau berkata, Pas mempunyai mekanisme sendiri untuk menentukan barisan kepimpinan parti itu dan tidak memerlukan desakan mana-mana pihak.

“Pas ada muktamar sebagai kuasa memilih presiden, jadi mana-mana pihak yang berhasrat untuk menukar pimpinan tertinggi boleh mengemukakan calon semasa pemilihan (muktamar) itu nanti,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Ahmad Fadhli berkata demikian ketika mengulas tentang khabar angin mendakwa Abdul Hadi sedang dipujuk rakan-rakannya agar berundur demi masa depan Pas dalam PR, selain masalah kesihatan yang tidak melayakkannya untuk terus memimpin parti itu.

Difahamkan, jika Abdul Hadi bersetuju (berundur), parti  itu boleh memperbaiki hubungan mereka bersama PKR dan DAP yang semakin keruh disebabkan sikap dingin presiden Pas itu.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menerajui Pas pada 2005 menggantikan Allahyarham Datuk Fadzil Mohd Noor selepas 41 tahun (1964) melibatkan diri dalam arena politik.

Beliau pernah menjadi Setiausaha Pas cawangan Rusila dan pernah memegang jawatan Ketua Pemuda Pas Terengganu sebelum menjadi Ahli Jawatankuasa Pas Pusat.

Pada 1983, Abdul Hadi dilantik menjadi Naib Presiden Pas, dan dipilih menjadi Timbalan Presiden parti itu ketika Allahyarham Fadzil menerajui parti itu.