• Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi Sidang Kemuncak Kuala Lumpur ketika sidang media mengenai sidang kemuncak yang berakhir hari ini di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade (MECC) di Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi Sidang Kemuncak Kuala Lumpur ketika sidang media mengenai sidang kemuncak yang berakhir hari ini di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade (MECC) di Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama
1 / 1
KUALA LUMPUR - Lebih banyak kajian perlu dijalankan untuk menguruskan secara baik perbezaan dan kepelbagaian pandangan serta ijtihad dalam pelbagai aliran umat Islam.

Perkara itu dirumuskan selepas perbincangan pemikir dan pemimpin dari 14 negara Islam dalam Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2014 selama tiga hari yang berakhir hari ini.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang juga pengerusi sidang itu berkata, selain itu, penegasan perlu diberikan kepada fleksibiliti pandangan Islam dalam masalah pemerintahan sesebuah negara.

“(Perbincangan dalam sidang itu memberi) pengiktirafan terhadap kepelbagaian gaya pemerintahan yang diasaskan atas pandangan Islam, bergantung pada faktor zaman, tempat dan ketamadunan yang lahir daripada pelbagai pengalaman.

“Ia adalah suatu keistimewaan yang memastikan keupayaan umat Islam dalam mendepani cabaran di dalam pelbagai masa dan tempat,”

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penutup Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2014. di Pusat Konvensyen Matrade, di sini, hari ini.

Persidangan itu menumpukan kepada perbincangan negara sivil dari sudut pandangan Islam terhadap kebebasan, keadilan, syura dan kemuliaan insan yang dianggap nilai-nilai utama dalam sistem pemerintahan Islam.

Tun Mahathir berkata, perbincangan pemikir Islam dalam sidang itu juga mendapati wujud keperluan untuk memperjelaskan definisi bagi istilah dengan memperbetulkan dan memperdalamkannya berdasarkan hujah dan perkaitan dengan persekitaran tamadun semasa istilah itu dibuat.

“(Sidang ini juga) meraikan dan menyokong pergerakan Islam yang berusaha membebaskan diri daripada kediktatoran dan membentuk pemerintahan adil dan tersusun,” katanya.

Beliau berkata, persidangan itu turut bersetuju bahawa isu ummah seperti masalah di Palestin menjadi antara isu yang perlu difokuskan dalam sidang akan datang.

Menurutnya, antara resolusi yang dicapai dalam sidang itu adalah menggalakkan lebih banyak kajian dalam teori politik Islam serta teori sosial dan ekonomi mengikut pandangan Islam
.