• Paparan video gelagat pelajar senior membelasah pelajar junior di sebuah asrama. Paparan video gelagat pelajar senior membelasah pelajar junior di sebuah asrama.
1 / 1
AUTA

Video buli membabitkan sekumpulan pelajar junior menjadi viral di laman sosial dikatakan berlaku dalam asrama Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Balik Pulau, Pulau Pinang.

Dalam video berdurasi 4 minit 37 saat itu yang dipercayai dirakam menggunakan telefon bimbit menunjukkan beberapa pelajar senior membelasah sembilan pelajar junior bertubi-tubi.

Selain ditumbuk dan ditampar, pelajar junior itu juga dilihat ditendang berkali-kali oleh pelajar senior.

Dalam video itu turut memaparkan, pelajar lelaki memakai singlet hitam dilihat paling ganas dengan membelasah beberapa pelajar junior.

Laman Facebook menyebut, akibat kejadian itu seorang mangsa mengalami patah tulang rusuk dan dikatakan terkena pada jantung.

Susulan kejadian itu, lapan pelajar sekolah berkenaan yang dipercayai terlibat digantung sekolah selama seminggu.


FAKTA

Polis menafikan video buli membabitkan sembilan pelajar junior yang menjadi viral dalam laman sosial berlaku di MRSM Balik Pulau.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Lai Fah Hin ketika dihubungi berkata, pihaknya sudah membuat penelitian video itu dan mengesahkan ia bukan berlaku di sekolah berkenaan.

“Kita sudah membuat siasatan sejak video itu tersebar meluas. Hasilnya mendapati ia bukan berlaku di MRSM Balik Pulau seperti didakwa.

“Kita juga melakukan siasatan sama ada kejadian itu berlaku dalam asrama sekolah lain di daerah ini namun mendapati ia bukan berlaku di Balik Pulau,” katanya.