• Dr Mahathir menerima cenderahati selepas ucaptama Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2014, semalam. - Foto Bernama Dr Mahathir menerima cenderahati selepas ucaptama Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2014, semalam. - Foto Bernama
1 / 1
KUALA LUMPUR - Fatwa mengenai pelbagai isu dalam Islam terutamanya yang dikeluarkan pada zaman dahulu perlu dikaji kesesuaiannya dengan keadaan masa kini.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ada fatwa yang didapati tidak lagi relevan.

"Walaupun fatwa kita harus terima, kita harus kaji fatwa itu sama ada sesuai dengan keadaan sekarang. Umpamanya gambar, dulu gambar dilarang (diletakkan di dalam rumah) sebab orang suka sembah gambar tapi sekarang kita tak boleh elak, ada fotografi, ada televisyen.

"(Apa) yang penting kita jangan sembah gambar itu. Jadi fatwa yang dulu, sekarang ini kita tak dapat laksana," katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama di Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2014, semalam.

Sidang kemuncak selama tiga hari itu bermula semalam. Ia membawa pemikir-pemikir dari negara-negara Islam dengan tema Negara Sivil dari Perspektif Islam.

Dr Mahathir, yang juga pengerusi sidang kemuncak itu, berkata, ada fatwa sebelum ini yang melarang penggunaan lampu elektrik dalam masjid atau penggunaan kenderaan bermotor untuk membawa jenazah.

"Hari ini fatwa ini tidak lagi diendahkan. Ini kerana tafsiran ulama terhadap peringatan dalam agama kita adalah salah atau tidak dapat dilaksanakan.

“Kita perlukan fatwa untuk berdepan banyak cabaran yang dihadapi orang Islam. Tetapi fatwa ini perlu dibuat hanya selepas kajian mendalam dan perdebatan dalam semua bidang dengan pertimbangan sewajarnya diberikan terhadap realiti kehidupan moden. Islam adalah agama untuk sepanjang zaman," katanya.

Menurutnya, lebih parah lagi, tafsiran ulama selalunya berbeza antara satu sama lain dan menyebabkan perpecahan umat Islam sehingga tiada lagi perpaduan.

“Kita tidak boleh dan tidak perlu mengubah (isi) al-Quran. Ia sudah sempurna. Cuma tafsirannya mungkin salah atau tidak tepat. Kita perlu buat penilaian semula terhadap ajaran Islam semasa. Kita perlu kembali kepada sumber asal agama kita, iaitu al-Quran," katanya.


Suka tiru budaya Barat punca liberalisme

Menyentuh isu liberalisme di Malaysia, Dr Mahathir berkata, kebanyakan orang Islam di negara ini suka meniru budaya Barat.

"Apa yang datang dari Barat kita tiru. Kita tak ada fikiran sendiri. Ini bukan sesuai dengan kita kerana mereka sudah runtuh sistem moral sama sekali. Apakah kita nak ikut?

"Terpulanglah pada kita untuk jelaskan keadaan kepada generasi muda, terutamanya," katanya.

Selain itu katanya, walaupun pengetahuan ulama dalam agama dihormati, dunia Islam memerlukan pakar dalam bidang lain untuk memberikan input dan penjelasan lain bagi mencabar liberalisme Barat.

Menurut Dr Mahathir, dunia Islam berdepan dengan cabaran dan idea baharu yang selalunya bercanggah dengan ajaran agama.

Namun, katanya, tindak balas negara Islam terhadap isu-isu ini dibuat secara tidak tersusun dan oleh individu yang ada agenda masing-masing.

Katanya, lebih memburukkan keadaan, setiap tindak balas dibuat secara emosi akibat kemarahan dan mahu membalas dendam.

“Tanpa perpaduan dan strategi, kita hanya akan jadi lebih lemah, menyebabkan kerosakan lebih banyak kepada kita sendiri berbanding pengkritik kita,” katanya.

Menurutnya, untuk menangani ideologi dan sistem nilai baharu, dunia Islam perlu berfikir secara mendalam dan merangka strategi serta rancangan berdasarkan analisis terperinci mengenai apa yang sedang berlaku kepada orang Islam dan apa punca ia berlaku.

“Hanya selepas itu kita patut mengambil tindakan,” katanya.

Beliau berkata, umat Islam hari ini membenarkan diri mereka berpecah-belah dan lemah secara fizikal serta nazak dari segi intelektual.

Katanya, kini Islam digunakan pula oleh sesetengah kumpulan Islam untuk mendapatkan kuasa dengan mengisytiharkan perjuangan demi Islam.

“Wajib bagi ulama dan pemikir Islam untuk memastikan orang Islam dipandu ajaran Islam seperti dalam al-Quran dan bukan oleh penipu yang ada agenda sendiri,” katanya.